KUALA LUMPUR, 3 November- Menyedari ramai dalam kalangan atlet yang masih kurang cakna mengenai pembayaran cukai, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mempergiatkan sesi advokasi dan konsultasi pengurusan kewangan kepada atlet negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata sesi konsultasi itu bertujuan untuk memberi penerangan lebih mendalam kepada atlet mengenai pendapatan yang perlu dan tidak perlu dicukaikan.
Beliau berkata, untuk atlet sememangnya ramai yang masih keliru memandangkan mereka tiada gaji tetap.
“Perkara ini memang jadi satu kekeliruan dalam kalangan atlet sebab mereka tidak menerima gaji bulanan tetap. Mereka sertai pertandingan kemudian menang wang ganjaran yang ada kala jumlahnya banyak dan ada kalanya sedikit.
“Ada masa jumlah diterima perlu dicukaikan dan sebaliknya, jadi timbul kesulitan untuk mereka memahami sama ada mereka perlu membayar cukai atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.
Jelas Adam, sesi yang dicadangkan itu bakal turut melibatkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta semua jabatan dan persatuan sukan kebangsaan.
Semalam, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mencadangkan agar MSN dan LHDN bekerjasama memberi kesedaran pembayaran cukai kepada atlet.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat 243 kes tunggakan cukai membabitkan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM15.873 juta dalam kalangan komuniti sukan, termasuk atlet.