Lumut: “Kawan ma (ibu) cakap ma sudah tak ada” itu kata remaja perempuan dalam nada suara menggeletar ketika mengambil adiknya di sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di Teluk Muroh, di sini, hari ini.
Remaja itu adalah anak kepada Bintara Muda Noor Rahiza Anuar antara 10 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam nahas dua helikopter yang bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, di sini hari ini.
Menurut guru tadika itu yang dikenali sebagai Ila, pada mulanya mereka tidak mengetahui nahas berkenaan sebelum kakak kepada kanak-kanak perempuan, Nur Qistina Afiyah, 6, datang ke pusat asuhan itu, 10.30 pagi tadi.
“Selalu ibu bapa murid itu akan beritahu kalau nak ambil cuma kakak dia datang mengejut kata nak ambil Afiyah saja.
“Bila guru kelas tanya kenapa sebab tengok dia (kakak Afiyah) menggeletar, dia cakap ‘tak tahu, dia kata kawan-kawan ma suruh ambil adik-adik sebab ma sudah tiada,” katanya.
Katanya, mereka yang hairan dengan maksud ‘ma sudah tiada’ mahu menghubungi ibu kanak-kanak itu namun sebelum sempat menelefon wanita berkenaan, mereka melihat berita mengenai nahas terbabit di media sosial.
“Kanak-kanak itu berusia enam tahun dan bersekolah di sini sejak tahun lalu. Selalu arwah ibu dia akan hantar kadang-kadang abang, kakak dan bapa. Semalam baru jumpa arwah, tengok dia hantar anak bongsunya itu.
“Saya dan cikgu lain masih terkejut dan terbayang senyuman mak dia datang ambil anaknya,” katanya.
Noor Rahiza antara 10 anggota dan pegawai TLDM yang terkorban dalam nahas berkenaan, hari ini.
Selain Noor Rahiza, mangsa yang turut terkorban dari HOM-AW139 dikenal pasti sebagai Kdr Muhammad Firdaus Ramli; Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy dan LK I JJM Joanna Felicia anak Rohna.
Manakala mangsa dari pesawat Fennec dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad; Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.
Sumber: Harian Metro