PETALING JAYA – Kecewa dan tidak puas hati, pelakon Datuk Aaron Aziz meluahkan rasa kesal terhadap individu yang dipercayai pekerjanya selepas ditangkap melakukan kegiatan pecah amanah.
Kata Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 48, sejumlah wang dipercayai hasil jualan perniagaan yang diusahakan isterinya, Datin Diyana Halik disonglap individu tidak bertanggungjawab tersebut.
“Bini aku bagi kau rezeki untuk bagi anak dan laki (suami) kau makan. Tapi kau choose to (pilih) balas bini aku dengan mencuri duit sales (jualan) selama ini.
“Rupanya kau telan duit halal dia dalam mulut kau secara haram. Aku saksi dia ke hulu ke hilir, penat sampai sakit.
“Kau seorang yang keji, hipokrik, biadab, pendusta dan manusia yang tidak bersyukur,” katanya dalam Instagram.
Dalam pada itu, Aaron turut memberitahu nilai wang terbabit dianggarkan dalam jumlah yang besar.
“Aku tidak akan pernah melupakan muka kau. Berpuluh ribu kau songlap.
“Isteri aku kongsi rezeki kau macam ini,” katanya.
Susulan perkongsian tersebut, rata-rata pengikut media sosial lain menasihati pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu untuk membuat laporan polis.
Selain netizen, rakan artis Azza Elite turut menasihatinya untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Buat laporan polis. Saya memang tidak boleh terima orang seperti ini,” kata Azza.
Bagaimanapun, Aaron tidak menjelaskan secara terperinci tentang tarikh kejadian itu berlaku termasuk identiti pelaku.
Sumber – Kosmo! Online