Kanak-Kanak Tergelincir Main Air Banjir Ditemukan Maut Di Dasar Sungai

0
51
Foto: Harian Metro

KUALA TERENGGANU, 28 Disember- Kanak-kanak lelaki yang hilang selepas tergelincir ketika bermain air di sebuah sungai di Kampung Tok Hakim, Padang Midin akhirnya ditemui sudah tidak bernyawa kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Mayat kanak-kanak malang itu ditemukan sekitar 30 meter dari tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata mayat Muhammad Harraz Ilman Mohd Syahril Redhuan, 11, ditemukan oleh pasukan penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada kedalaman kira-kira 1.5 meter.

Beliau berkata susulan penemuan itu operasi yang bermula 5 petang semalam ditamatkan pada pukul 12 tengah hari.

“Mayat ditemukan dalam keadaan tertiarap di dasar sungai.

“Kita menghadapi kesukaran untuk menemukan mayat itu disebabkan faktor cuaca dan keadaan dasar sungai yang penuh dengan pokok-pokok liar,” katanya.

Dalam kejadian 4.46 petang semalam, Muhammad Harraz Ilman dilaporkan hilang selepas tergelincir ketika bermain air bersama adik lelakinya, Muhammad Firas Wafiy, 9, dan seorang lagi rakannya di Sungai Tok Hakim, Kampung Tok Hakim.

Seramai 72 anggota daripada pelbagai agensi termasuk unit K9 JBPM terlibat dalam operasi berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here