Kanak-Kanak Lelaki Autisme Hilang Di Damansara Damai

0
87
Foto: Kosmo

PETALING JAYA – Polis memohon bantuan orang ramai mengesan kanak-kanak lelaki autisme yang dilaporkan hilang di Damansara Damai, di sini, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada pukul 6.36 petang.

Beliau berkata, kali terakhir kanak-kanak itu berada di kawasan perumahan di Apartment Idaman dengan memakai baju-T berkolar dan berlencana sekolah, seluar hitam serta kasut sekolah hitam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kosmo! Melaporkan seorang kanak-kanak lelaki autisme dikenali sebagai Zayn Rayyan berusia enam tahun dilaporkan hilang kira-kira pukul 12 tengah hari, semalam.

Perkara itu dimaklumkan ibu kanak-kanak menerusi akaun Facebook, Izz Manaf serta tular di media sosial.

“Assalam semua, minta tolong jika ada ternampak anak saya seperti dalam gambar. Anak saya hilang dari pukul 12 tengah hari.

“Jika ternampak sila hubungi saya. Anak saya OKU, autisme dan dia tak boleh bercakap. Jika nampak sila pegang dia dulu ya dan terus hubungi saya,” katanya.

Izz Manaf berkata, Zayn Rayyan memakai baju sekolah berkolar warna putih, berseluar hitam, berkasut sekolah dan berlencana Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2).

Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook dipercayai jirannya memuat naik gambar gerakan pencarian Zayn Rayyan dengan bantuan polis, bomba serta penduduk malam tadi.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here