“Sekarang ini kita masing-masing sudah ada haluan sendiri. Dia bersama OAG dan saya kini dengan kumpulan baharu diberi nama The Exact,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas mengenai kumpulan baharunya itu, Qi berkata, The Exact yang dianggotai oleh bekas kumpulan OAG bukanlah untuk pakatan untuk ‘menentang’ Radhi.
Malah, Qi turut terbuka menerima komen sekiranya peminat membandingkan antara kumpulan OAG dan The Exact.
“Pada saya perkara itu (perbandingan) tidak boleh lari kerana khalayak pasti akan mempersoal tentang kami yang merupakan bekas anggota kumpulan OAG.
“Tetapi, hakikatnya perjalanan saya sudah terhenti dengan OAG. Kita sudah tutup sejarah itu dan sekarang ini saya ingin terokai bab yang baharu dengan kumpulan The Exact.
“Apa yang saya lalui dengan OAG itu sudah cukup setakat itu saja. Sekarang tiba masanya saya ingin terokai spektrum muzik baharu dan belajar untuk bermula dari bawah semula,” katanya.
Pelakon filem War On Terror: KL Anarki itu turut berkata, penubuhan The Exact dianggap sebagai kesinambubungan kepada perjalanan karier seni selepas meninggalkan OAG.
“Apabila sudah berhenti dengan OAG maka kalau boleh saya tidak mahu ada kaitan atau menggunakan nama kumpulan itu sendiri.
“Saya bersama lima ahli lain sudah sebulat suara, bersejutu bahawa Radhi adalah OAG, dan OAG adalah Radhi. Kami memilih untuk membawa haluan dan perjuangan muzik sendiri.
“Tetapi, sekiranya diminta untuk membuat persembahan bersama, tiada masalah kerana kami sentiasa mendoakan kejayaan dia, dan diharapkan dia juga akan mendoakan kejayaan kita.
“Biarpun kami bersikap terbuka, tetapi ini bukanlah masa yang sesuai untuk mengadakan kerjasama. Kalau ada pun mungkin pada masa akan datang dan kita tidak menolak kemungkinan itu,” katanya.
Qi yang merupakan bekas pemain dram OAG menganggotai The Exact bersama dengan ahli lain iaitu Amer, Nizam, Ammal Bellamy, Nazrin dan Eric.
Kumpulan itu juga baru melancarkan dua lagu baharu bertajuk Belum Pasti dan Break Me selain merancang untuk menerbitkan album EP dalam tempoh masa terdekat.
Sumber – KOSMO! ONLINE