Kalau Syamsul Balik Alhamdulillah, Kalau Tak Kami Reda’

0
52
Foto: Kosmo

PETALING JAYA – Penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Patimah Ismail reda dengan keputusan anak mereka, Syamsul yang memilih untuk tidak menghubungi keluarga sejak berkahwin dengan Ira Kazar setahun lalu.

Kata Yusof, 70, mereka tidak pernah membenci Syamsul, 39, malah mendoakan agar pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu kembali ke pangkuan keluarga.

“Kami tidak pernah buang Syamsul daripada hidup kami. Tetapi, terus terang saya dengan isteri mendoakan dia.

“Peringkat awal kita tak menafikan bahawa kita terluka. Tetapi bila masa berlalu, kita sudah tua.

“Masa begini kami banyak mendekatkan diri kepada Allah. Habiskan masa dengan cucu dan kehidupan. Tidak perlu lagi bebankan fikiran.

“Kami doakan dari jauh kalau suatu hari nanti dia akan kembali semula,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka dan ulang tahun perkahwinan mereka ke-41 di ibu kota pada Ahad.

Dalam pada itu, Yusof turut menyerah keputusan kepada pengarah tersebut sama ada ingin pulang bertemu keluarga atau tidak.

Bahkan, mereka sekeluarga tidak membenci apatah lagi menyimpan dendam terhadapnya.

“Tiada ibu bapa yang membenci anak mereka. Soal di hendak pulang atau tidak, itu terserah kepada dia. Biarlah masa yang menentukan nanti.

“Apa pun dia buat saya sentiasa mendoakan yang terbaik. Begitu juga dengan filem baharu arahannya nanti akan ditayangkan tidak lama lagi,” terang Yusof.

Sebelum ini, Syamsul dikatakan tidak bertemu dengan keluarganya sejak setahun lalu. Malah, pada sambutan Aidilfitri pada April lalu juga Syamsul dinyatakan tidak berjumpa dengan ahli keluarga termasuk kedua-dua orang tuanya.

Untuk rekod, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin, 28, mendirikan rumah tangga di Thailand pada Januari 2023.

Syamsul sebelum ini pernah berkahwin dengan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5. Jodoh dengan Sarah tidak panjang apabila mereka bercerai talak 1 pada Jun 2023. – KOSMO ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here