PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berpendapat hukum pendermaan dan pemindahan rahim perlu dikaji semula khususnya bagi wanita yang menghidap sindrom Mayer-Rokinstansky-Kauser-Hauser (MRKH).
Menurut Kosmo, hantaran beliau di laman Facebook, Maktabah Al-Bakri telah menyiapkan kajian berhubung hal tersebut dan bakal dimuat naik dalam masa terdekat.
Dr. Zulkifli berkata, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada Oktober 2014 memutuskan hukum pendermaan dan pemindahan rahim adalah tidak harus kerana keperluannya belum mencapai tahap darurat.
“Saya terbaca laporan berita berkenaan kelompok wanita yang menghidap sindrom MRKH atau bahasanya mudahnya, wanita lahir tanpa rahim.
“Saya berpandangan pandangan hukum tersebut boleh dikaji semula. Pun begitu, ia tidak lengkap tanpa bantuan pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G),” katanya.
Berdasarkan Kosmo, cadangan Dr. Zulkifli itu disambut baik oleh pengasas MRKH Malaysia, Wani Ardy, yang telah lama memperjuangkan isu pendermaan dan pemindahan rahim.
“Dengan rendah diri saya katakan, saya perjuangkan isu ini bukan untuk diri saya. Saya sudah berusia 40 tahun dan mempunyai dua anak (walaupun bukan dari rahim saya kerana saya tidak punya rahim).
“Tapi saya perjuangkan isu ini untuk masa depan adik-adik sindrom MRKH, serta gadis-gadis yang rahimnya rosak dan terpaksa dibuang agar mereka ada pilihan dan harapan dalam jihad menjadi seorang ibu.
“Semoga Allah merestui usaha kecil kami,” katanya dalam ruangan komen.
Sumber: Kosmo