Kadar Dividen Simpanan SSPN 2023 Dijangka Meningkat

0
136
Foto: Thesun.my

KUALA LUMPUR, 9 Disember- Pemberian kadar dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi 2023 dijangka meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, ia susulan peningkatan keuntungan pelaburan dan trend prestasi deposit Simpan SSPN setiap tahun serta disokong pelbagai keistimewaan dan manfaat Simpan SSPN.

Beliau berkata, pada 2023, PTPTN merekodkan pulangan pelaburan deposit Simpan SSPN sebanyak RM287.64 juta bagi tempoh Januari sehingga September 2023, sekali gus menyaksikan pencapaian hasil pelaburan yang lebih baik berbanding RM220.63 juta bagi tempoh yang sama tahun 2022.

“Peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.0 peratus pada 3 Mei 2023 sehingga kini membantu PTPTN memperoleh pulangan pelaburan yang lebih konsisten,.

“Peningkatan keuntungan ini disokong kaedah pelaburan patuh Syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan tinggi,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tahun lalu, pemberian kadar dividen Simpan SSPN adalah sebanyak 3.05 peratus.

Norliza berkata pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang dan penglibatan pelaburan dalam pasaran sukuk turut membantu meningkatkan pulangan pelaburan itu, selaras hasrat kerajaan bagi memastikan simpanan dalam Simpan SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi.

Justeru, beliau menyeru ibu bapa supaya membuat simpanan di Simpan SSPN bagi menikmati manfaat antaranya perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk  keluarga yang layak selain simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Simpan SSPN juga adalah satu-satunya produk simpanan yang menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here