Jubah Dijadikan ‘Content’, Graduan Dinasihatkan Hormati Pakaian Akademik

0
148
Foto: Gempak

Kuala Lumpur: Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Shahrin @ Sahib Sahibuddin menasihatkan graduan supaya menghormati jubah konvokesyen sebagai pakaian istiadat yang penuh makna.

Prof Shahrin membuat teguran itu selepas melihat ada segelintir graduan yang menyarung jubah mereka kemudian membuat content (kandungan) kreatif untuk perkongsian di laman sosial.

Menurut Prof Shahrin, beliau pasti graduan yang berbuat demikian ingin memperlihatkan apa yang dianugerahkan kepada mereka.

“Tapi perasaan hormat itu perlu ada kerana bukan sembarangan dan calang-calang individu boleh menyarung jubah berkenaan.

“Kami ahli akademik juga menyarung jubah berkenaan sebagai tanda dan simbol ilmu yang dijunjung.

“Pemakaian songkok mahupun mortar-board (topi mortar atau konvokesyen) dipakai oleh mahasiswa sebenarnya antara takrifannya adalah menjunjung ilmu ditauliahkan kepada mereka.

“Jadi sesuai dengan itu besarlah harapan saya semua mahasiswa (mahasiswi) dan graduan UiTM Malaysia seluruhnya untuk menghormati pakaian akademik ini,” katanya menerusi satu video berdurasi satu minit 48 saat di TikTok rasmi UiTM.

Menurut Prof Shahrin, pakaian istiadat itu perlu diletakkan sejajar dengan statusnya yang sangat mulia dan tinggi dianugerahkan kepada graduan.

“Kena ingat firman Allah itu dari sisi Allah maka ilmu yang saudara dan saudari pegang itu sangat mulia tinggi.

“Maka pakaian itu melambangkan ilmu. Perihal pakaian itu tatacara dan adabnya perlulah dianugerahkan kepada pakaian ilmu yang saudara saudari pakai,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial gambar dan video trend graduan menggayakan jubah konvokesyen ketika berniaga, melakukan kerja rumah dan aktiviti lasak.

Alasannya adalah kerana rugi jika menggayakan jubah ketika majlis konvokesyen saja namun ada yang mengecam dengan mengatakan tindakan itu keterlaluan seolah tidak menghormati pakaian istiadat berkenaan.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here