SHAH ALAM – Laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli yang diliputi hutan tebal merupakan antara habitat utama haiwan liar, sekali gus menjadi laluan bagi mendapatkan makanan dan tempat tinggal.
Pensyarah Pengurusan Hidupan Liar dan Ekologi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Madya Dr Kamarul Ariffin Kambali@Hambali berkata, pembinaan JRTB dilihat telah memisahkan antara dua habitat hidupan liar yang terdapat di kawasan berkenaan.
“Haiwan seperti harimau, kawasan rayaunya besar dan luas untuk mencari makanan, pasangan dan sebagainya untuk kemandiriannya. Kemungkinan untuk kes kemalangan itu nasibnya tidak baik dan dilanggar lori,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau mengulas mengenai kejadian menimpa seekor harimau belang yang mati dengan sebahagian badan hancur digilis lori di Kilometer 67.1 JRTB.
Jelasnya, JRTB yang dibina merentasi kawasan hutan adalah laluan kebiasaan bagi kebanyakan hidupan liar seperti harimau, gajah dan haiwan-haiwan lain.
Mengulas lanjut beliau berkata, kemusnahan habitat kemungkinan antara sebab mengapa hidupan liar keluar dari lokasi asal, sekali gus mencari perlindungan dan penempatan baharu.
Menurutnya, keadaan itu berkemungkinan menyebabkan sumber makanan berkurangan dan tempat tinggal terganggu, menyebabkan haiwan liar terpaksa keluar untuk mencari penempatan di lokasi lain.
“Aktiviti manusia yang keluar dan masuk hutan untuk berburu atau mencari hasil hutan juga mungkin menyebabkan haiwan liar terganggu.
“Faktor lain kemungkinan berlaku kecederaan ke atas haiwan liar sehingga menyebabkannya tidak mampu bertahan di lokasi asal serta perlu berpindah mencari tempat baru yang lebih mudah untuk mendapatkan makanan,” katanya.
Tambah beliau, kewujudan wildlife viaducatau jejambat hidupan liar bertujuan menggabungkan dua kawasan hutan bagi memudahkan hidupan liar mencari makanan tanpa perlu melintas jalan raya adalah inisiatif baik dilaksanakan kerajaan.
“Terdapat beberapa lokasi wildlife viaduct seperti di Sungai Deka Terengganu, Sungai Yu Pahang dan Gerik, Perak. Ia adalah inisiatif baik bagi mengelakkan kepupusan atau kemalangan membabitkan hidupan liar,” katanya.
Sumber – Sinar Harian