JPJ Kedah ’Tidak Bagi Muka’ Kepada Pemandu Warga Asing

0
40
Foto: Harian Metro

GURUN, 16 November- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah tidak akan bertoleransi terhadap Pemandu Warga Asing (PEWA) yang didapati melanggar peraturan jalan raya.

Pengarah JPJ negeri Aman Shah Hashim berkata situasi warga asing yang menunggang motosikal disifatkan membimbangkan, meskipun tindakan telah diambil terhadap pemilik kenderaan sebelum ini.

Jelasnya di negeri itu sahaja, sebanyak 2,227 notis saman dikeluarkan JPJ kepada PEWA khususnya penunggang motosikal sepanjang operasi yang bermula 1 November lepas.

“Sepanjang operasi, notis saman paling tinggi ialah PEWA, jadi kita tak lagi ada toleransi dan sudah ambil tindakan terhadap pemilik dan pemandu kenderaan yang kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal.

Aman Shah turut mengulangi ingatannya kepada penduduk tempatan agar tidak sewenang-wenangnya menyewakan kenderaan kepada warga asing.

“Jadi, pesan saya buat rakyat tempatan, tolong jangan sewakan kenderaan kepada pendatang asing, walaupun dengan alasan untuk mereka pergi bekerja kerana kita tiada kompromi lagi dalam perbuatan ini, saman bukan sahaja kepada pemandu tetapi pemilik kenderaan juga,” katanya.

Katanya, PEWA yang paling ramai dikenakana tindakan adalah warga Bangladesh, Pakistan, Rohingya dan diikuti India.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyertai Op Khas Patuh Bersepadu di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Gurun di malam tadi.

Sebanyak 130 anggota penguatkuasaan terlibat dalam operasi itu termasuk Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Dalam operasi tersebut, sebanyak 780 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 112 kenderaan diambil tindakan melibatkan 138 saman dengan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (1987) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Antara kesalahan utama yang dikesan ialah tiada lesen memandu, kenderaan tiada perlindungan insurans, lesen kenderaan tamat tempoh dan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi spesifikasi dibenarkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here