AZRAQ, JORDAN – Satu kejadian ribut pasir tebal melanda bandar Azraq, Jordan semalam, yang terletak tidak jauh dengan Israel, lapor laman berita Marca.
Angin kencang mencetuskan debu tebal yang bukan sahaja mengurangkan penglihatan, bahkan mengurangkan kualiti udara di rantau itu.
Berdasarkan Kosmo, ribut pasir tersebut berasal dari kawasan padang pasir di barat daya Syria dan menjejaskan beberapa kawasan bandar termasuk ibu kota Jordan, Amman.
Pihak berkuasa tempatan mengeluarkan beberapa amaran dan saranan kepada penduduk. Ia termasuk mengehadkan aktiviti luar dan memakai topeng muka sebagai langkah perlindungan.
Berdasarkan video yang tular di media sosial, orang ramai dilihat berlari mencari perlindungan ketika ribut pasir melanda yang membawa debu tebal.
Keadaan sekitar turut bertukar menjadi merah disebabkan fenomena itu, menyebabkan sukar untuk melihat orang ramai yang berlari.
Sumber: Kosmo