Johan Tilawah Terharu Terima Hadiah Banglo Pada Usia 25 Tahun

0
74

Tanah Merah: “Alhamdulillah, saya amat gembira menerima hadiah sebuah banglo bernilai RM420,000. Terima kasih kerajaan Negeri Kelantan,” ujar Qari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi.

Muhammad Qayyim, yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak lahir menerima banglo empat bilik di Taman Wadi Impian Ekslusif, Tanah Merah, sumbangan kerajaan negeri selepas mengharumkan nama negara hasil kejayaannya menjadi juara kategori lelaki pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63, September tahun lalu.

Katanya, dia tidak menyangka pada usia 25 tahun, mampu memiliki kediaman sebesar itu namun menganggap semuanya adalah rezeki diberikan Allah SWT.

“Sebaik diberitahu bahawa kerajaan negeri mahu menghadiahkan sebuah banglo, saya terus mengucapkan rasa syukur. Rumah ini saya hadiahkan untuk keluarga terutama kedua ibu bapa saya.

“Hadiah ini akan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk saya memartabatkan al-Quran bukan sahaja di peringkat antarabangsa malah ke serata dunia.

“Saya juga mahu membuktikan bahawa insan OKU seperti saya juga mampu berjaya dalam apa bidang sekali pun, selain mahu semua umat Islam sama-sama mempraktikkan al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya selepas Majlis Penyerahan Rumah Banglo Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa 2023 di Wadi Iman Ekslusif Tanah Merah, di sini, tadi..

Muhammad Qayyim yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri di Kota Bharu, muncul Johan tilawah antarabangsa tahun lalu, dengan markah 94.96 peratus mengalahkan peserta dari Iran, Alireza Bizhaniavval yang memperoleh 93.30 peratus.

Sementara, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata hadiah banglo berkenaan adalah tanda penghargaan kerajaan negeri kepada Muhammad Qayyim yang mengharumkan nama negeri Kelantan dan Malaysia.

“Ia juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mensasarkan satu rumah satu penghafaz al-Quran selain mahu setiap lapisan masyarakat menjadikan kalam suci itu sebagai pedoman hidup,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here