KUALA LUMPUR – Affin Bank Berhad (“AFFIN BANK” atau “Bank”) dengan bangganya mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Cik Joanne Rodrigues (“Joanne”), telah dinamakan sebagai salah seorang daripada Wanita Paling Berkuasa di Asia 2024 oleh Fortune. Joanne adalah salah seorang daripada empat wanita Malaysia yang tersenarai dalam kedudukan tahun ini, dan penyertaannya menyerlahkan kepimpinan cemerlang, wawasan strategik, serta peranan penting beliau dalam transformasi dan pertumbuhan AFFIN BANK. Ini juga mengukuhkan komitmen Bank terhadap pemerkasaan wanita.
Kepakaran kewangan dan visi strategik Joanne telah membimbing AFFIN BANK melalui landskap ekonomi yang dinamik serta memacu pertumbuhan yang signifikan. Sebagai penyokong utama kemajuan teknologi, beliau telah menerajui pemodenan infrastruktur bahagian kewangan, memastikan ia berkembang dalam landskap digital yang sentiasa berubah.
“Pengiktirafan daripada Fortune ini menekankan sumbangan besar Joanne kepada AFFIN BANK,” kata Datuk Wan Razly Abdullah, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad. “Penglibatan beliau dalam inisiatif transformasi Bank, Pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28), sangat penting dalam menyelaraskan tonggak strategik Bank – Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan, Kepimpinan Digital, dan Perbankan Bertanggungjawab Dengan Impak. Sebagai salah seorang daripada empat wanita Malaysia yang tersenarai dalam senarai berprestij ini, pencapaian beliau menjadi inspirasi kepada pemimpin wanita yang bercita-cita tinggi di seluruh industri.”
Pada Jun 2024, AFFIN BANK buat pertama kalinya disenaraikan dalam senarai sulung Fortune Southeast Asia 500, yang merupakan bukti pertumbuhan luar biasa Bank serta komitmen teguh terhadap inovasi di rantau ini.
Senarai Wanita Paling Berkuasa Asia oleh Fortune menampilkan 100 pemimpin wanita paling berpengaruh di rantau ini merentasi pelbagai sektor. Senarai penuh 100 Wanita Paling Berkuasa Asia 2024 boleh didapati di fortune.com/asia/ranking/most-powerful-women-asia/ dan dalam edisi Oktober/November majalah Fortune Asia, yang boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh Asia Pasifik mulai 8 Oktober 2024.