PUTRAJAYA, 29 September- Cubaan menyeludup 61 kilogram (kg) dadah yang disorokkan dalam tiga bungkusan diikrarkan sebagai alat ganti kenderaan di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas, Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 September lalu digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Kesemua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM2 juta cukup untuk kegunaan kira-kira 305,000 penagih.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Wong Pun Sian berkata ketika pemeriksaan dilakukan, sebanyak 60 bungkusan plastik berwarna hijau mengandungi dadah jenis metamphetamine ditemukan.
“Terdapat tulisan refined chinese tea dan beberapa tulisan lain dalam bahasa Mandarin pada bungkusan terbabit yang di dalamnya mengandungi serbuk kristal.
“Modus operandi sindiket adalah dengan cara mengikrar bungkusan sebagai alat ganti kenderaan dan menyembunyikan dadah dalam paket plastik teh bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Wong, siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat.
“Siasatan awal mendapati bungkusan berkenaan akan dihantar ke alamat penerima di Kota Kinabalu, Sabah,”katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.