KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Seramai 136 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam satu operasi di sebuah kondominium merah di Jalan Munshi Abdullah, awal pagi tadi.
Operasi yang bermula pukul 1.00 pagi itu membabitkan penahanan warga Bangladesh, Nepal, Indonesia Pakistan, Thailand dan India.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dan aduan orang awam yang mendakwa jumlah warga asing terlalu ramai di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan.
“Operasi ini kita telah buat pemeriksaan seramai 3,016 orang warga asing yang tinggal di dua blok bangunan ini dan hasilnya seramai 136 orang PATI yang berumur antara 20 hingga 70 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan,”katanya.
Jelas Ruslin, operasi melibatkan 338 pegawai pelbagai pangkat serta jabatan antaranya Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta beberapa cawangan Ibu pejabat Jabatan Imigresen.
Beliau berkata, operasi tersebut turut mendapat bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan lanjut.
“Tindakan penguatkuasaan itu diambil setelah menerima aduan awam berhubung PATI tersebut tanpa Pas dan dokumen pengenalan diri yang sah,”katanya ketika mengetuai sendiri operasi tersebut.
Tambah Ruslin, pihaknya akan menjalankan siasatan dan memanggil pemilik rumah dan pengurusan kondominium bagi mengenal pasti sama ada rumah tersebut disewa majikan atau warga asing itu sendiri.
“Difahamkan, kebanyakan warga asing tersebut menyewa bilik di kondominium itu bermula RM500 hingga RM800 sebulan.
“Kondominium tersebut pernah diserbu sebelum ini dan beberapa pendatang tanpa izin ditahan,”katanya.