Kuala Lumpur: Chef selebriti terkenal, Datuk Chef Wan, 66, menyifatkan jika benar ada berlaku penganiayaan pekerja seperti didakwa sudah pasti perniagaannya, Kumpulan Restoran Chef Wan (CWGR) tidak akan bertahan selama lima tahun beroperasi.
Menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, Chef Wan atau nama sebenarnya, Redzuawan Ismail berkata, beliau juga terfikir sekiranya berbuat jahat dengan orang, mana mungkin CWGR boleh menang pelbagai anugerah dan sentiasa dikunjungi pelanggan.
“Saya selalu fikir jika kita ini buat jahat nak aniaya staf-staf (pekerja), kita dah lima tahun pun beroperasi sampai menang macam-macam anugerah.”Jika kita tipu gaji staf, rasa saya dah lama restoran dan kafe kita ini kosong, tak jalan apa-apa perniagaan lagi.
“Walaupun apa yang difitnahkan dan netizen-netizen ‘nasi tambah’ di luar sana yang menjadi batu api tanpa tahu hujung pangkalnya, percayalah, kita akan dapat harungi semua ini,” tulisnya.
Menurut Chef Wan, Allah SWT ada dan akan melindunginya daripada segala perbuatan manusia durjana yang cuba hendak menjatuhkan perniagaannya.
“Sebagai majikan, kita akan menghadapinya dan tidak pernah takut dengan segala ugutan jika kita berpihak yang benar.
“Yang suka mencuri, menipu ‘OT’ (over time), tidak berdisiplin, menunjukkan kualiti kerja yang buruk sampai ada pelanggan buat aduan berkaitan kualiti makanan dan perkhidmatan, mereka boleh berhenti dan tinggalkan syarikat,” katanya.
Bapa pelakon Serina Redzuawan ini berkata, apa yang penting dalam kejayaan sesebuah perniagaan adalah memastikan semua pelanggan gembira dengan produk dan perkhidmatan disediakan.
Terdahulu, Chef Wan tampil menafikan dakwaan yang tular di media sosial berkaitan beliau dikatakan menipu gaji pekerjanya dan memberitahu beliau tidak campur tangan dalam urusan berkenaan.
Chef Wan berkata, peranannya dalam CWGR adalah mengendalikan resipi serta kualiti makanan, manakala soal penggajian adalah tugas rakan perniagaannya.
Baru-baru ini, difahamkan juga CWGR sudah mengeluarkan kenyataan bahawa penularan isu tak bayar gaji itu adalah berita palsu.
Malah, syarikat turut memberi amaran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.
Sumber: Harian Metro