JOHOR BAHRU, 28 September- Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan prestijnya dalam kancah bola sepak negara apabila merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut, selepas membenam PDRM FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Kejuaraan itu dijulang meski masih berbaki empat perlawanan lagi, dengan mengumpul 64 mata sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Estaban Solari mencipta sejarah apabila muncul satu-satunya kelab bola sepak menjadi juara untuk 10 musim berturut-turut, selepas kali pertama memenanginya pada 2014.
Malah, skuad dari selatan tanah air itu turut melakar kejayaan ‘treble’ selepas mendakap Piala Sumbangsih, Piala FA dan terkini kejuaraan liga.
Pada aksi malam tadi, Harimau Selatan yang beraksi di laman sendiri dihadapan 12,000 penyokong mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi pemain sensasi daripada Brazil Bergson Da Silva dan pemain tengah Juan Muniz, masing-masing pada minit ke-37 dan ke-40.
Babak kedua menyaksikan kesilapan pemain pertahanan PDRM FC Izaaq Izhan Yuswardi, menjatuhkan Arif Aiman Mohd Hanapi dalam kotak penalti yang membawa padah, apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Fitri Maskon.
Arif Aiman dengan mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-54, sekali gus melakar jaringan ketiga buat pasukan Harimau Selatan.
Sambil The Cops masih buntu mencari gol awal, JDT bagaimanapun tidak mengambil tempoh lama untuk menambah jaringan menerusi rembatan deras penyerang dari Argentina FernandoForestieri, tiga minit kemudian.
Jaringan keempat itu melengkapkan malam bermakna buat JDT dengan kemenangan empat gol tanpa bolos.
Fokus JDT kini adalah pemburuan untuk mempertahankan Piala Malaysia bagi mengulangi kejayaan ‘quadral’ musim lalu dan berada di landasan terbaik apabila mara ke separuh akhir piala berprestij itu.