PETALING JAYA – Seorang peniaga memuat naik video meluahkan rasa kesalnya terhadap pelanggan yang bergantung kepada sistem transaksi tanpa tunai (cashless) sahaja.
Menerusi video seorang peniaga dikenali sebagai Kak Ji, dia menasihati pelanggan supaya membawa sedikit wang tunai ketika keluar makan walaupun wujud sistem canggih masa kini kerana ada kalanya masalah internet boleh berlaku ketika cuba membuat pembayaran.
“Yang mana suka gaya cashless ini, sekurang-kurangnya letaklah sedikit wang tunai di dalam beg.
“Janganlah ‘lurus’ sangat. Sebab line internet kadang-kadang buat hal. Kita dah siap makan, perut dan kenyang, nak bayar cashless, internet buat hal, macam mana?
“Kalau pemilik kedai itu baik, tidak apa, bayar lain kali. Kalau kita tak kenal kedai dan pemiliknya, dia nak benarkan ke?” luahnya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan keluhan peniaga ini kerana sememangnya ada pelanggan yang sanggup menipu apabila kaedah tanpa tunai digunakan.
“Setuju kak, terpaling cashless. Bila tak ada duit nak bayar, mulalah pinjam duit orang dulu,” komen Sya.
“Saya meniaga lokcing, memang selalu ada pelanggan macam ini. Kita baik hati suruh pelanggan transfer bila balik rumah tiba-tiba senyap,” kongsi Hafis Mustaffa.
Sumber: Kosmo