PETALING JAYA – Dikecam teruk selain dilabel lelaki ‘red flag’, pempengaruh Ameera Khan mempertahankan pelakon Indonesia, Jefri Nichol dengan meminta orang ramai berhenti melemparkan kata-kata negatif terhadap aktor terbabit.
Sudah lama mengenali Jefri, Ameera atau nama sebenarnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 23, berkata, aktor terbabit merupakan seorang lelaki baik dan penyayang.
“Dia sangat baik, kami dah lama kenal dan berkawan.
“Kalau siapa yang pernah berjumpa dengannya, mereka akan tahu Jefri seorang lelaki yang sangat penyayang,” ujarnya menerusi video dalam TikTok.
Adik kepada usahawan Noor Neelofa itu turut menasihatkan netizen agar tidak terlalu cepat menilai seseorang berdasarkan penampilan atau tindakan yang dilihat dalam media sosial.
“Jangan cepat menilai. Semua orang ada perjalanan hidup masing-masing. Mungkin pengakhiran hidup mereka akan lebih baik daripada kita.
“Kalau orang menilai saya seperti itu, saya sangat sedih. Tolong jangan jadi terlalu kejam sebab bila kita tengok orang dekat media sosial, kita menilai tetapi sebaliknya dia berbeza dengan apa yang orang nampak di media sosial,” tegasnya.
Tahu baik dan buruk, Ameera menegaskan dia tidak memerlukan persetujuan orang lain dalam setiap keputusannya.
“Apa yang kalian cakap kasar sangat. Kalau ada apa-apa pun, saya tak perlu persetujuan orang.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang bimbangkan saya tapi tak bermakna kalian kena rendahkan orang lain,” ujarnya.
Terdahulu, Jefri Nichol berdepan kecaman selepas membuat pendedahan pernah meniduri lebih 20 orang wanita selain berlaku curang terhadap pasangannya.
Ameera Khan dan Jefri didakwa pernah menyulam cinta namun hubungan mereka dikhabarkan putus di tengah jalan sekitar Oktober 2021 setelah wanita itu tidak lagi mengikuti Jefri dalam Instagram.
Namun pada penghujung Mac tahun lalu, percintaan mereka dikhabarkan kembali bertaut selepas aktor itu menghubungi Ameera menerusi panggilan video.
Sebelum ini, tular satu rakaman video sesi siaran langsung Ameera memaklumkan dirinya lebih tertarik dengan lelaki Indonesia kerana menganggap mereka lebih romantik dan lemah lembut apabila berbicara dengan wanita.
Sumber – KOSMO! ONLINE.