Jangan Beri Duit Kepada ‘Peminta Sedekah’

0
101
Foto: Kosmo Digital

Georgetown: Masyarakat ditegah memberi wang kepada golongan pengemis dan gelandangan di sekitar bandar raya bagi mengelak tertipu kerana kebanyakan mereka sebenarnya bukan terdiri daripada orang susah.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Timur Laut Jamuna Naidu Nesen berkata, kebanyakan mereka adalah pengemis berulang yang biasanya membawa kanak-kanak bagi meraih simpati.

“Malah, mereka juga bukan tinggal di daerah Timur Laut tetapi ada yang dikesan datang dari Kedah dan Kelantan untuk mengemis.

“Sikap pemurah masyarakat serta mudah simpati kepada pengemis dan gelandangan menyebabkan golongan itu kembali meminta sedekah di sekitar kawasan bandar raya,” katanya selepas operasi membasmi pengemis yang di Lebuh Queen, di sini, semalam.

Operasi itu dilakukan susulan laporan Harian Metro, semalam mengenai bazar Ramadan berkenaan yang menjadi ‘lubuk’ pengemis warga asing.

Jamuna berkata, operasi membasmi pengemis dilakukan di enam bazar Ramadan sekitar daerah Timur Laut yang juga lokasi panas iaitu di Kampung Melayu, Taman Nusantara, Prangin Mall, Lebuh Queen, Tanjung Tokong dan Taman Tun Sardon.

Katanya, dalam operasi itu, seramai sembilan pengemis yang terdiri daripada tujuh pemegang kad UNHCR dan dua warga tempatan diberi amaran serta diminta beredar dengan segera manakala sebahagian lagi melarikan diri sebaik menyedari operasi.

“Tugas menyelamat pengemis dan gelandangan bukan sepenuhnya di bawah bidang kuasa JKM tetapi membabitkan pelbagai agensi.

“Di negeri ini, kita ada Pusat Transit Gelandangan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mengurus bantuan atau sumbangan kepada golongan terbabit dengan wajar,” katanya.

Sementara itu, antara pengemis yang dikenal pasti ketika operasi itu ialah wanita pemegang kad UNHCR bersama anak lelakinya berusia enam tahun.

Dia mendakwa sudah 10 tahun menetap di Malaysia dan terpaksa mengemis di sekitar Pulau Pinang sejak kematian suami empat tahun lalu, bagi membayar sewa rumah sebanyak RM300 sebulan

Wanita terbabit mendakwa menaiki bas dan feri bot laju dari Butterworth, kemudian sanggup berjalan di bawah terik matahari sejauh lebih satu kilometer ke bazar Ramadan berkenaan semata-mata mahu mengemis.

Setiap hari sepanjang Ramadan, dia dan anak tunggalnya itu meraih ‘pendapatan’ melebihi RM200 dalam tempoh tiga jam mengemis sebelum pulang semula ke Butterworth pada jam 7 petang.

‚ÄčKetika maklumat diambil oleh kakitangan JKM, wanita itu berpura-pura tidak faham dan tidak tahu berbahasa Melayu.

Namun ketika diberitahu bahawa anaknya akan ditempatkan di rumah kebajikan jika mereka enggan beredar, wanita terbabit merayu dengan pertuturan Bahasa Melayu yang fasih serta berjanji tidak mengemis lagi.

Sementara itu, seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 40 tahun yang sering diperiksa JKM sejak 2008 mengakui mengemis sudah menjadi tabiatnya dan jalan mudah bagi mendapatkan wang.

Bermula di Lorong Kulit, dia mendakwa ‘kerjayanya’ kini tertumpu di sekitar bandar raya dan dia adalah penerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan berikutan berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal.

Difahamkan selepas beredar, kebanyakan pengemis akan kembali semula ke lokasi itu keesokan hari bagi meminta sedekah dan ia adalah situasi biasa berlaku setiap kali JKM melakukan operasi.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here