JAKIM Usaha Pendekkan Tempoh Proses Sijil Halal Kepada Sebulan

0
96
Foto: Astro Awani

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengenal pasti kaedah implementasi bersesuaian bagi memendekkan tempoh memproses pensijilan halal dari 51 hari kepada 30 hari.

Sehubungan itu, Ketua Pengarahnya Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, penilaian dan kajian terperinci dilakukan pihaknya dengan kerjasama Malaysian Productivity Corporation (MPC).

“Ini untuk memastikan kaedah implementasi bersesuaian dilaksana bermula peringkat prapensijilan sehingga pascapensijilan halal,” katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu berkata, kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal kepada 30 hari dari 51 hari sebelum ini.

Bagi memastikan pengurusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berada pada tahap yang terbaik, Hakimah berkata, Jakim melaksanakan Kejuruteraan Semula Proses Perniagaan (BPR) untuk meneliti isu dan punca kelewatan pengurusan pensijilan halal Malaysia sejak awal tahun ini.

Melalui BPR katanya, Jakim berjaya memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) 2.0 yang terhasil melalui projek rintis pengurusan pensijilan halal Malaysia.

Dalam pada itu katanya, Jakim menerima 2664 permohonan sijil halal bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lepas dengan 90 peratus atau 2,399 permohonan selesai diuruskan.

“Baki 265 (10 peratus) permohonan sedang diproses di pelbagai peringkat sama ada di bawah tindakan Jakim atau yang memerlukan tindakan pemohon,” katanya.

Berhubung perkara sama, Hakimah berkata, Jakim turut menstrukturkan semula birokrasi permohonan dan meningkatkan keupayaan sistem sokongan sedia ada tanpa menjejaskan pematuhan industri terhadap standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia.

“Ia bagi memastikan ekosistem tadbir urus dan tatakelola penyampaian perkhidmatan diberikan menjadi indikator utama memastikan perkhidmatan disampaikan adalah berkesan dan cekap serta memenuhi ekspektasi yang disasarkan,” katanya.

Menurutnya, Jakim dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) juga sedang berusaha untuk menaik taraf Sistem MYeHalal 2.0 supaya ia lebih mesra pengguna dan menepati keperluan teknologi semasa.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here