KUALA LUMPUR – Demi menjaga pita suara, penyanyi Siti Nordiana sanggup menolak kopi yang menjadi minuman kegemarannya selama setahun.
Kata Siti Nordiana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, 40, tahap vokal yang merudum akibat masalah ketika menyertai program All Stars Gegar Vaganza (GV10) membuatkannya perlu berpantang.
“Pita suara saya semakin baik selepas mendapat rawatan pakar berikutan masalah berpunca daripada jangkitan Covid-19 ketika musim pandemik.
“Apabila menyertai GV10 keadaan menjadi semakin melarat selepas saya memaksa diri untuk meneruskan perjuangan hingga ke saat akhir.
“Biarpun semakin baik, saya kena ‘berpantang’ kopi sejak setahun lalu bagi mengelakkan masalah lama berulang sedangkan sejak dulu memang tak boleh sehari pun tanpa kopi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Memori Mungkin Berulang, hari ini.
Menurut penyanyi lagu Cinta Hanya Sandaran, bagi memantapkan vokalnya dia masih menghadiri kelas intensif di bawah bimbingan Datuk Syafinaz Selamat.
“Kalau ikutkan memang setiap bulan saya pergi ke kelas vokal, kena berlatih selalu dan ‘top up’ suara. Perlu konsisten dan berdisiplin.
“Beberapa bulan ini mungkin akan lebih kerap sebab saya perlu membuat persiapan awal menjelang persembahan mega dengan Tomok, Konsert Memori Mungkin Berulang,” ujarnya.
Menyentuh konsert anjuran syarikat milik Tomok, Popsicle Records yang berlangsung pada 1 Februari 2023, Siti Nordiana mengakui teruja sebaik rakan seperjuangannya itu mempelawanya.
“Ini kali pertama saya dan Tomok akan berkongsi pentas mega membawakan lagu duet kami serta mengimbas nostalgia kegemilangan seleksi hits saya dan Allahyarham Achik.
“Kami juga akan membawakan dendangan popular kami sepanjang dua dekad dalam industri muzik,” ujarnya.
Tiket menyaksikan konsert dijual pada harga RM98 sehingga RM498, selain VIP Box RM5,000 boleh ditempah menerusi www.Ticket2u.com.my.
Sumber – KOSMO! ONLINE