Petaling Jaya: “Saya mohon netizen janganlah mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan keluarga arwah dan biarlah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengeluarkan kenyataan. Selagi tidak ada kenyataan, netizen tolonglah tutup mulut (buat kenyataan),” kata Zahari Mohd Reba, datuk kepada kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemui meninggal dunia akibat dibunuh.
Zahari, 55, berkata, arwah adalah cucu sulung yang paling disayanginya dan meminta orang ramai berhenti mengeluarkan kenyataan yang tidak sahih dengan mengata perkara tidak benar berkaitan anak perempuannya.
Menurutnya, dia juga berharap pembunuh cucunya itu segera ditahan dalam masa terdekat selepas membaca berita polis menemui cap jari dan DNA pelakunya.
“Anak saya sentiasa cuba memenuhi kehendak arwah (Zayn) setiap hari apa saja Zayn mahu dia akan tunaikan.
“Cucu saya juga jika ayah dia memandu kereta, dia akan berjaga menemani ayahnya ketika ibu dan adik tidur,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, jika ada masa lapang hari Sabtu, dia akan membawa cucunya itu berjalan-jalan kerana mereka terlalu rapat.
“Cucu saya memang rapat dengan saya dan dia suka mandi dekat laut (pantai) atau kolam dan hiking (mendaki).
“Saya memang suka hiking dan sebab itu saya cungkil bakat arwah suka melakukan aktiviti luar,” katanya.
Terdahulu, Zahari melalui Facebooknya memohon supaya orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak sahih sehingga mengguris perasan keluarganya.
“Salam semua di luar sana, saya mewakili waris arwah memohon supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak sahih yang mengguris perasan keluarga kami.
“Setiap hari keluarga kami menghadapi gangguan emosi, Zayn Rayyan adalah cucu kesayangan kami,” katanya.
Sebelum ini Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.
Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, kira-kira jam 10 malam Rabu lalu.
Sumber: Harian Metro