Jaga-Jaga Terjerat, Ahlong Promosi Pinjaman Wang Sempena Aidilfitri

0
84
Foto: Utusan Malaysia

SETIAP kali menjelang musim perayaan, pemberi pinjaman wang haram atau along antara yang dilihat sibuk melakukan pelbagai promosi mencari mangsa baharu.

Ini mungkin kerana along menyedari ramai yang memerlukan wang lebih untuk membeli pelbagai barangan atau pakaian baharu sebagai persiapan menyambut sesuatu perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri.

Kebiasaannya, along melakukan promosi pinjaman wang di media sosial, menggantung poster di tepi jalan kawasan kediaman atau meletakkan risalah di peti surat.

Namun baru-baru ini, tular video tiga lelaki tempatan menyebarkan iklan pinjaman along dan judi di sekitar kawasan bazar Ramadan di Stadium Perak.

Perbuatan tiga lelaki itu bukan sahaja boleh disifatkan biadab dengan melakukan promosi along pada bulan Ramadan, tetapi juga agak berani kerana dilakukan secara langsung.

Taktik yang digunakan mereka dikenali sebagai ‘memancing’. Daripada 200 pelanggan bazar yang diberi iklan along di bazar itu, kalau sangkut seorang dua pun sudah cukup bagi mereka.

Bagi meraih keyakinan orang ramai untuk membuat pinjaman peribadi, ada antara along menawarkan ‘promosi hari raya’ yang kononnya boleh diluluskan dengan cepat selain mengenakan kadar faedah yang rendah.

Tidak salah berbelanja lebih meraikan Aidilfitri dengan membeli baju baharu, kuih raya mahupun perabot baharu jika berkemampuan.

Namun yang sering menimbulkan masalah ialah berbelanja lebih daripada kemampuan hingga sanggup membuat pinjaman dengan along semata-mata mahu meraikan Aidilfitri dengan meriah.

Memang seronok ketika membeli-belah dengan wang dipinjam daripada along, namun selepas raya mulalah pening untuk membuat bayaran mengikut perjanjian.

Jika gagal, mulalah jumlah bayaran pinjaman meningkat berkali ganda sehingga akhirnya bayaran faedah sahaja melebihi pinjaman pokok.

Selain itu, banyak juga contoh kes buruk yang telah terjadi apabila gagal membuat bayaran balik pinjaman along.

Rumah disimbah cat merah, seluruh keturunan diugut malah jiran-jiran juga turut terkena tempias gangguan selagi bayaran tidak dilunaskan.

Jangan hanya kita bahagia sementara menyambut raya, tapi akhirnya bertahun-tahun terjerat dengan hutang along.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here