Jaga Hak Kanak-Kanak, Tiada Kerja Rumah Selepas 9.30 Malam

0
44
Foto: Astro Awani

Beijing: Sebuah sekolah rendah di China ‘mengharamkan’ kerja rumah selepas jam 9.30 malam dan memutuskan untuk tidak menghukum pelajar yang tidak menyelesaikan tugasan, mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, lapor South China Morning Post.

Sekolah Rendah Nanning Guiya di wilayah Guangxi, selatan China, mengambil langkah itu untuk mengurangkan tekanan terhadap pelajar dengan memastikan mereka tidak belajar, pada masa kanak-kanak itu sepatutnya berehat.

Pada 27 Mac, sekolah itu mengumumkan di akaun WeChat bahawa ia mahu meringankan beban akademik terhadap kanak-kanak.

Langkah itu berikutan kelulusan undang-undang baharu di China pada 2021 yang bertujuan mengurangkan tekanan kerja rumah dan pembelajaran subjek teras di luar waktu sekolah.

Ia meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan tempatan dan sekolah untuk memastikan tekanan itu dikurangkan, dan meminta ibu bapa untuk mengatur masa anak-anak mereka untuk menggabungkan rehat dan senaman yang munasabah.

“Tiada kerja rumah untuk pelajar selepas jam 9.30 malam setiap hari, dan mereka yang belum menyiapkan kerja mereka tidak akan dikritik oleh guru. Mari kita lindungi kesihatan anak-anak kita,” kata pihak sekolah dalam satu notis.

Pengumuman WeChat itu beredar pantas dalam talian dan mencetuskan perdebatan dalam talian.

Seorang ibu, yang anak perempuannya bersekolah di sekolah itu berkata, ia tidak akan menjejaskan anaknya kerana beban kerja rumah kanak-kanak itu adalah ringan dan ia biasanya selesai pada 8 malam.

Seorang lagi ibu, dengan seorang anak lelaki berusia 8 tahun, berpendapat persaingan sengit dan tekanan akademik apabila memasuki sekolah menengah akan menyukarkan inisiatif itu dilaksanakan.

Bapa kepada seorang lagi pelajar berkata, inisiatif itu, walaupun berniat baik, akan menyusahkan kanak-kanak dan ibu bapa.

Dia berkata, anak perempuannya bergelut dengan kerja rumah yang terlalu banyak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Paling terkini dia menyiapkan kerja rumahnya pada 11.45 malam,” katanya.

Apa yang paling membimbangkan adalah bagaimana pelajar yang berprestasi rendah akan dapat menguasai pembelajaran.

Dia juga tertanya-tanya bagaimana pihak sekolah bercadang memberikan sokongan kepada ibu bapa bagi membantu anak-anak menyiapkan kerja rumah mereka sebelum 9.30 malam.

Sekolah ini bukanlah yang pertama melancarkan inisiatif itu.

Pada 2023, bandar Ningbo di wilayah Zhejiang, timur China, ‘mengharamkan’ kerja rumah untuk murid sekolah rendah selepas 9 malam.

Sistem pendidikan China yang sangat kompetitif bermakna tekanan diberikan kepada ibu bapa yang merasakan mereka mesti mendorong anak-anak mereka belajar bersungguh-sungguh untuk menjamin masa depan.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here