PETALING JAYA – Kemenjadian watak sebagai perosak rumah tangga orang secara tiba-tiba menimbulkan kebencian dan dikecam ramai, pelakon Mimi Lana berharap tidak didoakan keburukan atau malapetaka ke atas dirinya.
Sedar akan kemarahan penonton, Mimi atau nama lengkapnya Mimi Roziana Zainal Abidin, 28, memberi peringatan agar khalayak tidak terbawa-bawa perasaan sehingga tidak berhenti mencemuhnya kerana melakonkan watak Intan dalam drama Andai Tiada Dia memandangkan semua itu lakonan semata-mata.“Saya faham semua orang tengah marah sangat dengan karakter Intan buat masa sekarang. Tambah pula isu penyondol (perosak rumah tangga) dalam rumah tangga tengah hangat diperkatakan.
“Tetapi, kalian janganlah mendoakan perkara yang tidak baik atas nama sebenar saya. Intan yang jelas bukan Mimi Lana,” katanya dalam Instagram.
Tambah Mimi, apa yang berlaku dalam drama tersebut hanyalah lakonan dan dia hanya melaksanakan tanggungjawab dalam melakonkan watak dengan baik.
“Saya hanya interpretasi watak yang sedang berlaku di sekeliling kita semua untuk dijadikan iktibar.
“Semoga sikap seperti Intan ini akan dijauhkan dari kita semua. Saya harap penonton terhibur dan tidak mengambil hal ini terlalu peribadi,” katanya.