Jabatan Penjara Sasar Jualan Kuih Raya Cecah RM2.2 Juta

0
154
Foto: thesun.my

PUTRAJAYA: Jabatan Penjara menyasarkan jualan biskut raya yang dihasilkan penghuni penjara seluruh negara sepanjang Ramadan tahun ini adalah sebanyak RM2.2 juta, iaitu peningkatan berbanding RM2 juta pada Ramadan tahun lalu.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Jabatan Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak yakin sasaran itu dapat dicapai dengan sambutan orang ramai selain kepelbagaian pasaran jualan termasuk di platform dalam talian.

“(Biskut ini) dipasar di merata (lokasi) sama ada di institusi penjara dan kita uar-uarkan di laman sesawang (Jabatan Penjara) dan pelanggan boleh membuat pesanan menerusi dalam talian. Kita boleh hantar (pesanan) melalui Pos Laju.

“Kita sudah bekerjasama dengan Pos Malaysia untuk mengenakan caj (penghantaran) yang minimum untuk membantu penghuni dan disambut oleh masyarakat melalui produk yang mereka hasilkan,” katanya yang ditemui pada Hari Bersama Jabatan Penjara di Istana Kehakiman, di sini semalam, yang disempurnakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Tambahnya, setakat Sabtu lalu, hasil jualan biskut raya sepanjang Ramadan di Galeri Ibu Pejabat Penjara Malaysia sahaja adalah berjumlah RM250,000.

Antara biskut yang mendapat permintaan tinggi adalah ‘Tart Nanas’, ‘Cinta Hati Dahlia’, ‘My Scoot Femes’, ‘Kueh Bangkit’ dan ‘Rempeyek Kluang’.

Biskut itu dihasilkan di beberapa penjara seperti Pengkalan Chepa, Kelantan; Pokok Sena, Kedah; Bentong, Pahang; Sungai Udang, Melaka dan Penjara Wanita Kajang, Selangor.

“Biskut yang tular ‘Tart Nanas’ padahal tart nanas ada sahaja dijual di luar tetapi istimewa ‘Tart Nanas’ yang dihasilkan Penjara Wanita Kajang dan Pengkalan Chepa, bahan di dalamnya iaitu jem nanas dibuat oleh pihak penjara, nanas ditanam sendiri dan jenis MD2 iaitu hibrid yang baik.

“Ia juga menggunakan mentega untuk salutan luar, kita boleh katakan apabila masuk mulut ia cair di mulut,” katanya.

Mengulas mengenai Hari Bersama Jabatan Penjara, menurut Abdul Aziz, program itu julung kali diadakan di antara Jabatan Penjara bersama Istana Kehakiman yang bermula hari ini sehingga Rabu ini.

Jelasnya, lebih 10 institusi penjara mempamerkan dan memasarkan produk termasuk songket, batik, kraf serta makanan.

“Ini permulaan baik dengan pihak Istana Kehakiman kerana memberi ruang kepada Jabatan Penjara sebagai entiti dalam keadilan jenayah yang mana mereka (penghuni penjara) telah dijatuhkan hukum oleh pihak mahkamah, dihantar ke penjara untuk dipulihkan.

“Ini adalah satu kitaran yang penuh daripada mereka dijatuhkan hukuman dan balik semula kepada komuniti setelah mereka dipulihkan dalam penjara,” katanya.

Sumber: Buletin TV3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here