PETALING JAYA – Ketika khalayak rancak berdebat isu rampas bekas kekasih antara dua pensohor media sosial juga sahabat baik, Leona dan Cupcake Aisyah, nama aktres Anna Jobling turut memanas apabila dikatakan ‘menempel’ dalam situasi tersebut.
Anna atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 24, mula mengundang perhatian ramai apabila mengeluarkan kenyataan kononnya dia bersyukur memiliki sahabat baik yang berlainan cita rasa dan mereka tidak menyukai jenis lelaki sama.
“Alhamdulillah kawan baik tidak mempunyai cita rasa yang sama terhadap lelaki.
“Jadi, saya tidak perlu berasa risau mengenainya,” katanya dalam aplikasi X.
Perkongsian bintang drama Melur Untuk Firdaus itu seterusnya mengundang rasa kurang senang netizen malah kisah silamnya yang pernah didakwa sebagai pengkhianat rakan sendiri ketika menyertai pertandingan Dewi Remaja 2018/2019.
“Kenapa hendak menyibuk muncul pula dalam isu orang lain. Dulu bukankah pernah ‘kantoikan’ dan khianat kawan dalam Dewi Remaja juga?
“Anna diam sajalah sekarang, nanti kisah silam sendiri pula yang terlondeh,” selar segelintir pengguna aplikasi X.
Menerusi beberapa perkongsian netizen, Anna didakwa sebagai individu yang membongkar rahsia bekas juara Dewi Remaja musim yang disertainya iaitu Haneesya Hanee ke kelab malam.
Perkara tersebut seterusnya membuatkan gelaran juara tersebut ditarik balik.
Meskipun begitu, masih terdapat juga netizen yang menyebelahi dirinya dan berharap dia tidak terlibat dalam mana-mana isu berebut teman lelaki.
Sejak semalam, media sosial dibanjiri dengan isu Leona atau nama penuhnya Kasih Iris Leona Azhar, 22, mendakwa kecewa melihat teman baiknya yang didakwa sebagai Aisyah mempunyai hubungan istimewa dengan bekas teman lelaki dikenali sebagai Ryan.
Dakwaan tersebut seterusnya mendapat respons ibu Aisyah iaitu Sue Razip yang menyelar segelintir pihak menuduh anaknya sebagai penyondol sebelum mengetahui cerita sebenar.
Sumber: Kosmo