Isu Air UMS Kian Pulih Selepas Pelajar Adakan Demonstrasi

0
54

Kota Kinabalu: Isu air di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dilaporkan meruncing sebelum ini, mula menunjukkan pemulihan sejak beberapa hari lalu.

Perkara itu diakui pelajar yang tinggal di ketiga-tiga kolej kediaman UMS, di sini, berdasarkan situasi semasa bekalan air di kampus yang lebih baik berbanding minggu lalu dan sebelumnya.

Mereka mengakui perubahan itu berlaku selepas lawatan Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang disambut dengan demonstrasi isu air oleh pelajar UMS pada Isnin lalu.

Penghuni Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Rafae, Jacyntha Sintar, 22, berkata, situasi sebelum ini amat berbeza terutama selepas majlis konvokesyen pada akhir tahun lalu.

“Selepas majlis konvokesyen pada Disember lalu, air mati (terputus), berminggu-minggu tiada masuk di rumah, jadi pelajar terseksa sebab mencari air tapi tiada.

“Kalau adapun di tangki luar blok dan ada juga yang mandi di kafe, tapi ada masa kafe pun tiada air, jadi memang susah, kalau ada air pun terpaksa angkat air.

“Malah ada yang beli air mineral untuk dijadikan air mandi sebab kecemasan langsung tiada air. Rumah saya pernah sebulan tiada air.

“Tapi baru-baru ini ada air, boleh diguna untuk mandi malah deras. Ini berlaku selepas menteri datang,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Rakannya, Nurafidah Mudding, 22, yang menghuni Kolej Kediaman Tun Fuad berkata, paling menyeksakan apabila tiada air untuk membuang ‘hajat’.

“Paip di semua blok kering, kalau adapun di tangki bawah. Bagi kami yang tinggal di aras tinggi terpaksa ke bawah untuk ambil air.

“Bayangkan sakitnya tangan, lebih-lebih lagi pelajar perempuan, sakit tangan dan air sampai tumpah-tumpah. Apabila sampai di atas tinggal sedikit saja lagi.

“Kadang air di tangki bawah pun tiada, mahu buang air besar pun susah. Tapi sekarang keadaan baik, siang malam ada air,” katanya.

Sementara itu, penghuni Kolej Kediaman Tun Mustapha, Ong Seong Jeng, 22, mengakui situasi air di kolej kediamannya sebelum ini amat memeritkan.

Katanya, kebiasaan sebelum ini air terputus hingga seminggu dan apabila ada air semula, hanya bertahan beberapa jam sebelum terhenti.

“Ada pagi dan tiada sebelah petang atau sebaliknya. Sudah menjadi perkara biasa sebelum ini, malah air tiada hingga seminggu juga pernah berlaku.

“Hanya beberapa hari kebelakangan ini situasi agak baik, bolehlah saya mandi, membasuh dan masak mee segera di kolej kediaman,” katanya.

Sebelum ini, ada pelajar mengakui tidak mandi berhari-hari akibat masalah air di kampus berkenaan, selain selain terpaksa mencari air dari satu blok ke blok lain, hingga ke fakulti dan di luar kampus.

Difahamkan, bekalan air di kampus universiti itu semakin baik sejak beberapa hari lalu menerusi penghantaran lori tangki bagi memenuhi tangki sedia ada sebelum disalurkan ke kolej kediaman.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here