SANAA, YEMEN – Iran sekali lagi memberikan amaran keras kepada Rejim Zionis dengan membuktikan proksi tenteranya tidak akan berdiam diri dengan tindakan melampau Israel.
Ia sekali gus memberi bayangan bahawa pertempuran askar Israel dengan pejuang Hamas benar-benar boleh merebak ke seluruh Asia Barat.
Peningkatan amaran itu dapat dilihat selepas kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Teheran melancarkan siri serangan dron dan peluru berpandu ke arah Israel dari Yemen, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Kumpulan Houthi, yang merampas ibu kota Yemen, Sanaa pada 2014 daripada pemerintahan awam dan mengawal sebahagian besar negara itu berkata, pihaknya melancarkan serangan dron ke arah bandar Laut Merah, Eilat pagi semalam sebagai tindak balas ke atas perang Israel terhadap Hamas.
“Dron ini milik negara Yemen. Kami berjuang dengan kata-kata dan dron,” kata Perdana Menteri pentadbiran Houthi, Abdelaziz bin Habtour.
Walaupun Houthi telah melancarkan peluru berpandu ke atas Israel sejak Rejim Zionis mengisytiharkan perang terhadap Hamas, ini adalah kali pertama kumpulan tersebut secara terbuka mengakui serangan itu.
Ia turut menandakan pertambahan sebuah lagi kumpulan disokong Iran yang berperang menentang Israel dan dalam masa sama, askar Zionis sedang menghadapi serangan dari setiap arah.
Selain tentangan daripada Hamas di Gaza, pejuang Hizbollah di Lebanon turut melancarkan serangan dari utara, Pasukan Pertahanan Nasional Syria dari arah barat dan kini, Houthi dari selatan Israel.
Abdelaziz turut menegaskan bahawa Houthi adalah sebahagian daripada apa yang digelar ‘paksi penentangan’ yang menentang Israel.
Dalam pada itu, seorang diplomat tertinggi Iran menyatakan bahawa keadaan di Asia Barat berisiko menjadi tidak terkawal jika gencatan senjata gagal dilakukan.
“Adalah lumrah untuk kumpulan dan pergerakan penentangan tidak berdiam diri terhadap semua jenayah (Israel) ini,” kata diplomat tertinggi Iran, Amir-Abdollahian.
Tambah Amir, kumpulan-kumpulan tersebut tidak akan menunggu nasihat sesiapa untuk bertindak.
“Justeru, kita perlu menggunakan peluang politik terakhir untuk menghentikan perang,” katanya sambil merujuk kepada gencatan senjata.
Sumber: Kosmo
Real good info can be found on site.Expand blog