KUALA LUMPUR: “Mohon doa supaya Allah permudahkan segala urusan saya dan anak-anak serta Allah jaga dengan Rahmat-Nya.”
Demikian kata pelakon Irma Hasmie mengenai dakwaan suaminya, Redza Syah Azmeer sudah berkahwin baharu selepas lelaki itu memuat naik foto perkahwinan di akaun Instagram (IG), semalam.
Irma ketika dihubungi Harian Metro enggan bercerita lebih mengenai berita itu, sebaliknya, memaklumkan dirinya berada dalam keadaan baik.
“Doakan moga Allah beri ketenangan dan banyakkan rasa syukur. Apa yang yang penting Allah jaga hati dan fikiran kami (anak-anak),” katanya.
Ditanya mengenai status perkahwinan antara mereka, Irma bagaimanapun tidak menjawab persoalan sama ada masih bergelar isteri atau sudah memilih jalan perpisahan.
Terdahulu, hantaran Redza mencetuskan tanda tanya apabila menulis keterangan berkaitan perjalanan baharunya sebagai suami dengan wanita terbabit selain mendoakan agar orang ramai dipertemukan dengan kebahagiaan yang dicari.
Sebelum ini, timbul dakwaan rumah tangga Irma dan suami dikatakan sedang dilanda badai susulan jarang memuat naik foto bersama sejak Ogos 2023.
Untuk rekod, Irma dan Redza mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Sumber: Berita Harian