Inspektor Polis Lega, Bebas Tuduhan Ambil Dadah

0
124
Foto: Utusan Malaysia

SEREMBAN, 7 November- Seorang pegawai polis berpangkat inspektor menghela nafas lega apabila Mahkamah Majistret Seremban mengarahkannya untuk dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengambil dadah, tiga tahun lepas.

Majistret Mohd Firdaus Saleh membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Roslan Sam, 43.

Dalam penghakimannya, Mohd Firdaus berkata keputusan itu dibuat setelah mahkamah meneliti fakta kes, eksibit, keterangan Orang Kena Tuduh (OKT) dan saksi pembelaan selain meneliti semula keterangan saksi di peringkat pendakwaan.

“Mahkamah dengan ini mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Maka dengan ini, OKT dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan ini,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Roslan didakwa mengguna dan memberikan kepada dirinya dadah berbahaya iaitu ketamin, emphatamin, methamphetamin, methylenedioxy – emphatamin dan methylenedioxy methamphetamin.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 3 pagi di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada 27 September 2020 dan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum bawah akta sama, serta denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaaraan yang bermula pada 2021, seramai tujuh saksi memberi keterangan di mahkamah.

Peguam yang mewakili tertuduh Haresh Mahadevan berkata, pihak pembelaan berjaya membuktikan pegawai polis berkenaan tidak mengetahui air yang dihidangkan kepadanya serta tetamu yang lain semasa menjalankan tugas risikan di sebuah tempat hiburan mengandungi dadah.

Selain Haresh, Ramzani Idris turut mewakili tertuduh manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here