KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan memberi perlindungan kepada pengguna daripada ancaman jenayah siber, penipuan, dan kandungan yang merosakkan wajar disokong dalam memastikan kesejahteraan negara.
Terbaru, lesen penyedia media sosial mula berkuat kuasa hari pada 1 Januari 2025 yang menandakan satu lagi lembaran baharu dalam usaha kerajaan menjadikan platform media sosial di Malaysia lebih selamat.
Pensyarah Sistem Komputer, Institut Teknikal Jepun Malaysia, Mohamad Suhani Hussin berkata kaedah pelesenan adalah pendekatan yang berkesan untuk mengawal selia perkhidmatan internet dan media sosial.
“Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dapat memantau kandungan yang berisiko menimbulkan keganasan, buli siber, penipuan atas talian, perjudian, fitnah, serta isu lain yang berpotensi merosakkan nilai, etika, dan keharmonian.
“Pemantauan ini juga berfungsi untuk menangkis ancaman keselamatan siber yang boleh menggugat keselamatan dan kestabilan sosial,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihak yang memohon dan memperoleh lesen berkenaan secara tidak langsung akan terikat dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membolehkan segala perlakuan yang dianggap menyalahi akta boleh diambil tindakan.
“Satu pujian harus diberikan kepada kerajaan kerana cuba untuk menguatkuasakan akta ini secara menyeluruh di seluruh negara.
“Secara tidak langsung, pembudayaan masyarakat yang lebih bertamadun dan kelas pertama dapat diwujudkan apabila kesan dan akibat dapat difikirkan oleh penyedia perkhidmatan dan rakyat dalam membuat sesuatu perkara,” katanya.
Selain, Mohammad Suhani berkata orang ramai seharusnya sedar langkah kerajaan memperkenalkan lesen penyedia media sosial adalah bertujuan menapis maklumat tidak sahih dan bukan menyekat kebebasan bersuara.
“Perkara ini masih baru dan mungkin ramai yang masih belum jelas mengenai isu perlesenan ini. Saya percaya sedikit masa lagi masyarakat akan mulai faham.
“Kita perlu sedar perkara yang berkaitan media sosial ini kebanyakannya golongan warga emas dan kanak-kanak mudah dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, empat penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial utama telah mengorak langkah ke arah pematuhan kawal selia dengan memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia.
Menurut MCMC, Tencent (WeChat) telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP (C)), menjadikannya penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan di bawah keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.
Selain WeChat, ByteDance (TikTok) juga berjaya memperoleh lesen mereka manakala Telegram di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka menerimanya dalam masa terdekat.
“Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram, dan WhatsApp telah memulakan proses mendapatkan lesen untuk mengendalikan platform berkenaan di negara ini, yang juga dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi,” menurut MCMC dalam kenyataan. – Media Lah