“Ini Ketentuan Allah, Jangan Salahkan Pesilat Lawan” – Megat Zulkarnain

0
109
Foto: Berita Harian

Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin meminta tiada pihak menyalahkan pesilat yang bertanding berhubung kematian pesilat Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin.

Wan Muhammad Haikal yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, selepas tidak sedarkan diri ketika pertandingan prapemilihan Sukan Malaysia (Sukma) di Seremban petang semalam.

Megat berkata, berdasarkan penelitian dan video yang dilihat kematian Wan Muhammad Haikal bukan berpunca daripada sepakan lawan.

Katanya, selepas pihak teknikal Pesaka meneliti rakaman video dan keterangan wasit dan juri yang mengadili pertandingan itu, apa yang dilaporkan oleh media sebelum ini adalah tidak tepat.

“Saya sudah meneliti rakaman video dan apa yang dilaporkan sebelum ini iaitu punca kematian Allahyarham kerana sepak di kepala adalah tak tepat.

“Kita boleh lihat dengan jelas dari rakaman itu pesilat lawan juga dalam keletihan dan Allahyarham dalam proses buat sepakan gunting.

“Ini ketentuan dari Allah dan meminta tiada sesiapa menyalahkan mana-mana pihak terutama pesilat yang bertanding,” katanya.

Dalam pada itu Megat mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan Pesaka akan memberi bantuan kepada keluarga bagi urusan jenazah untuk di bawa balik ke Terengganu.

Terdahulu Wan Muhammad Haikal meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai pertandingan selepas terkena tendangan pihak lawan.

Dia disahkan meninggal dunia pada 1.20 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here