Bogota: Gara-gara mahu jadi lebih tinggi, seorang pempengaruh di Colombia sanggup menjalani pembedahan memanjangkan anggota badan yang bukan sahaja menyakitkan malah menyusahkannya.
Mirror UK melaporkan, Yeferson Cossio, 29, juga sanggup berhabis wang dengan dilaporkan membayar antara 39,915 pound British (kira-kira RM234,276) dan 139,688 pound British (kira-kira RM819,850) untuk rawatan yang boleh membuat seseorang tumbuh antara lima sentimeter (sm) dan 10 sm lebih tinggi.
“Saya menjalani pembedahan paling menyakitkan di dunia supaya saya boleh menjadi empat inci (10.16 sm) lebih tinggi,” katanya.
Cossio berkongsi rakaman video pembedahan itu kepada 10.9 juta pengikutnya di Instagram (IG).
Katanya, dia mendapat tahu mengenai prosedur itu ketika mencari kaedah rawatan untuknya masalah kakinya dua tahun lalu.
“Saya meneliti perkara itu dan mendapati ia wujud dan mahu melakukannya,” katanya.
Menurut Cossio, pembedahan itu satu daripada prosedur yang paling mahal dan menyakitkan untuk dirasai oleh sesiapa sahaja.
Dia tidak pernah berasa sangat pendek tetapi mahu menjadi lebih tinggi.
“Ketinggian saya 1.77 meter (m). Untuk mencapai 1.87 m nampaknya terlalu tinggi bagi saya, justeru saya akan kekal sekitar 1.83 m.
“Namun diakui pembedahan ini paling menyakitkan, malah sangat mahal,” katanya.
Sementara itu, pakar bedahnya memberitahu prosedur itu biasanya digunakan untuk melaraskan kecacatan pada anggota badan yang tidak sama panjang kebiasaan dialami mereka yang terbabit dalam kemalangan.
Katanya, ia mengambil masa empat bulan untuk sembuh daripada pembedahan hingga pulih sepenuhnya.
Pakar itu menambah, Cossio akan dapat menjalankan aktiviti hariannya seperti biasa seperti berjalan, bersenam dan bermain bola sepak apabila dia pulih nanti.
Video Cossio itu tular di IG dengan hampir 320,000 tontonan dan lebih 6,000 komen.
Dia melampirkan klip video itu dengan mesej: “Saya menjalani pembedahan yang paling menyakitkan di seluruh dunia. Adakah anda akan melakukannya?”
Seorang pengikutnya di IG bertanya: “Dan bilakah otaknya akan tumbuh?”
Seorang lagi mengulas: “Kesombongan yang terbaik! Semua wang di dunia tidak boleh membuatkan lelaki ini menjadi gembira.”
Pengkomen lain menulis: “Mempunyai begitu banyak wang sehingga tidak tahu untuk membelanjakannya untuk apa… maka melakukan perkara karut ini.”
Sumber: Harian Metro