JAKARTA – Platform perkongsian video, TikTok menyatakan semalam bahawa pihaknya secara rasmi menamatkan perkhidmatan beli-belah online di Indonesia bagi mematuhi peraturan baharu yang dikuatkuasakan oleh pemerintah untuk melindungi perniagaan tempatan, lapor agensi berita United Press International.
“Keutamaan kami adalah untuk kekal mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan.
“Justeru, kami tidak lagi membenarkan proses transaksi e-Dagang di TikTok Shop Indonesia dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa pada masa akan datang,” kata TikTok dalam satu kenyataan.
Minggu lalu, Menteri Perdagangan Indonesia, Zulkifli Hasan mengumumkan bahawa negara itu akan melaksanakan peraturan baharu yang membenarkan media sosial digunakan hanya untuk memudahkan promosi, dan bukan untuk melakukan transaksi.
Platform itu kini mempunyai 113 juta pengguna di Indonesia, menjadikan negara tersebut sebagai pasaran terbesar kedua TikTok di belakang Amerika Syarikat yang memiliki 116.5 juta pengguna.
Sumber: Kosmo