Ibu Trauma, Dua Anak Menyusul Menjelang Syawal

0
56
Foto: Sinar Harian

MELAKA – Ibu kepada mangsa kemalangan maut di Pantai Kundor di sini, reda dengan pemergian anaknya, namun berharap kematian mangsa mendapat pembelaan.

Suri rumah, Aslina Abu, 48, berkata, ibu mana yang tidak sedih apabila dua anak lelakinya pergi menjelang hari raya dan pada malam raya didakwa berpunca akibat kecuaian pemandu lain.

Menurutnya, dua tahun lalu dia kehilangan anak keenamnya berusia 19 tahun ketika itu sebelum sekali lagi diuji dengan pemergian Allahyarham Muhammad Amin Fakhrullah Mohd Faiez, 19, yang merupakan anak ketujuh pada malam menjelang Syawal.

“Mungkin orang boleh cakap sabar, tapi saya yang melaluinya dan hanya ALLAH sahaja tahu perasaan saya kehilangan anak dikala nak sambut raya.

“Kedua-dua anak saya pergi pada malam Aidilfitri di usia 19 tahun, seolah-olah mereka sudah berjanji untuk sehidup semati,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pantai Kundor di sini pada malam Selasa.

Tambah ibu kepada 11 orang anak itu, dia juga trauma setiap kali menjelang Syawal selepas kehilangan kedua-dua anak yang meninggal dunia disebabkan kemalangan menjelang hari raya gara-gara kecuaian orang lain.

Aslina (kanan) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pantai Kundor di Melaka, pada malam Selasa.

Ujarnya, Muhammad Amin Fakhrullah seorang anak yang manja dan sebelum kejadian anaknya itu pernah meminta supaya tidak dibelikan baju raya untuknya.

“Dia memang anak yang baik, arwah kata tahun ini mak tak perlu belikan baju raya sebab dia tak nak beraya, dan kasihan saya tidak bekerja, rupanya sekali lagi kami tak beraya tahun ini.

“Saya harap sangat kali ini kematian anak saya benar-benar mendapat pembelaan, saya tidak berdendam tapi saya mengharapkan keadilan untuk arwah,” katanya lagi.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan seorang wanita tidak dapat menahan sebak apabila melihat anak lelakinya yang ditutup kain putih selepas maut dalam kemalangan di Jalan Tanjong Minyak, Bukit Rambai.

Kejadian pada jam 1.04 pagi menyebabkan Muhammad Amin Fakhrullah maut di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta dari arah bertentangan.

Video wanita itu sebak dan gagal mengawal emosi selepas melihat mayat anaknya di lokasi insiden tular di media sosial.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here