KUALA LUMPUR – Ibu tercinta menghidap demensia atau nyanyuk menjadi alasan utama penyertaan penyanyi Ning Baizura dalam program realiti popular, Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).
Ning atau nama lengkapnya Ning Baizura Sheikh Hamzah, 49, mendedahkan , ibunya Satilah Abdullah yang kini berusia 81 tahun sudah tidak begitu mengingati mempunyai seorang anak bergelar penyanyi.
Atas sebab itulah dia mahu mengembalikan momen sebagai penyanyi di atas pentas besar sebagai satu hadiah terbaik buat ibunya.
“Dia seperti ingat-ingat lupa bahawa saya seorang penyanyi. Dia sudah tak ingat bila kali terakhir saya buat persembahan dalam televisyen.
“Mungkin ini adalah hadiah terbaik yang saya boleh bagi untuk dia. Sebagai anak hanya mampu memberikan dia kenangan terindah.
“Dan ini adalah kenangan terindah yang akan saya berikan kepada dia agar dia tidak lupa dan dapat lihat persembahan anaknya sekali lagi. Dahulu dia pernah bergelar pengurus saya.
“Bukan tujuan saya untuk meraih simpati, tetapi suami saya juga pesan supaya saya lakukan ini untuk Ibu saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan peserta GV11, semalam.
Dikatakan sudah bertaraf diva, penyergaan Ning dalam GV11 telah meraih perhatian ramai malah ada pihak mendakwa dia sesuai menjadi juri berbanding peserta.
Pelantun lagu Curiga itu bagaimanapun tidak pernah meletakkan dirinya pada tahap tertentu.
“Sebenarnya sudah banyak kali pihak produksi tawarkan kepada saya. Tetapi ketika itu saya belum bersedia lagi. Tetapi sekarang, saya tengok geng yang lain semua dah masuk tinggal saya sahaja yang belum.
“Bila usia dah nak masuk 50 tahun, terus terang saya cakap, apa sahaja boleh berlaku. Tak perlu letak limitasi dalam diri. Saya tak mahu perjuangan saya dalam bidang seni berakhir begitu sahaja.
“Ada orang kata saya sudah berada di ‘level’ yang tertentu. Apa itu ‘level’? Bagi saya ‘level’ itu tidak harus diberikan oleh sesiapa kecuali Allah sahaja yang boleh bagi.
“Sudah 30 tahun saya menyanyi. Tetapi saya tetap ingin belajar. Saya mahu belajar perkara baru dalam GV11 bersama Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz dan Hetty Koes Endang,” kongsinya.
Tambah pemenang Album Terbaik Anugerah Industri Muzik edisi pertama itu lagi, rakan-rakan baiknya yang merupakan alumni GV seperti Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Nikki Palikat banyak memberi semangat dan dorongan untuk menyertau GV11.
Selain Ning Baizura, GV11 turut menyaksikan penyertaan daripada 13 lagi peserta lain termasuklah dari Indonesia dan Singapura.
Antara yang terlibat ialah Liza Aziz, Ronnie Hussein, Illa Sabry, Nai Dinamik, Yazid Lovehunters, The Lima, Sheila Abdul, Arrora Salwa, Fairuz Selamat, Inka Christie, Reshmonu, Zehra Zamri dan Dadali Dyrga.
GV11 akan bersiaran bermula 24 November depan setiap Ahad pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria.
Sumber – Kosmo! Online