Ibu Bapa Hilang Sekelip Mata, Rintihan Anak Sulung Undang Sebak

0
152
Foto: Harian Metro

KOTA BHARU: “Saya nak mama, saya nak papa.”

Demikian rintihan berulang kali Qaisara Damia Ridwan Effendy, 15, selepas kedua-dua ibu bapanya yang maut dalam kemalangan semalam, selamat dikebumikan pagi ini.

Qaisara Damia yang juga anak sulung daripada dua beradik tidak dapat menahan kesedihan selepas urusan pengebumian ibu bapanya, Ridwan Effendy Yusof, 43, bersama isteri, Suhana Khairuddin, 37, selesai dan terpaksa ditenangkan ahli keluarga yang lain, manakala adiknya, Akid Darwisy Ridwan Effendy, 9, kelihatan lebih tenang.

Keadaan dua beradik itu mengundang kesedihan dan orang ramai yang berada di tanah perkuburan itu turut mengalir air mata mendengar rintihan anak Allahyarham.

Terdahulu, jenazah wanita hamil anak kembar dan suami yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 43 Jalan Gua Musang-Lojing semalam, selamat dikebumikan pagi ini.

Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan dalam satu liang jam 9.30 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunjung.

Pengebumian suami isteri berkenaan diuruskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Seramai 300 orang hadir termasuk kedua-dua keluarga dan kenalan Allahyarham.

Dalam kejadian jam 9.35 pagi semalam, Ridwan Effendy yang juga anggota tentera bersama isteri, Suhana yang hamil enam bulan maut di tempat kejadian, manakala dua anak mereka cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata mangsa dan keluarga dipercayai dari arah Ipoh menuju ke Gua Musang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh tembok longkang di tepi jalan.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here