AYER KEROH, 7 Disember- Pempengaruh dan usahawan ‘Mak Cik Kemboja’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan mengeluarkan kenyataan dan memulakan komunikasi video jelik mendakwa orang Melayu sebagai malas di media sosial, bulan lalu.
Tertuduh, Mariyah Yaakob, 47, mengangguk faham dan menjawab ‘tidak mengaku bersalah’ dalam prosiding didengar Hakim Mohd Sabri Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, Mariyah didakwa menggunakan aplikasi TikTok dan membuat suatu penyataan dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu kira-kira pukul 6 petang, 16 November lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, anak lelakinya, Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 22, yang juga Pengarah Mariyah Holding turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan secara sedar menggunakan aplikasi TikTok di alamat sama dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya mengatakan kenyataan jelik itu antara 14 hingga 16 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Kedua-dua prosiding yang dijalankan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan.
Sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Kamal Hisham Jaafar memohon jaminan yang rendah memandangkan Mariyah seorang ibu tunggal yang menanggung tiga orang anak dan perniagaannya terjejas akibat COVID-19 serta mengakibatkan syarikat diboikot kerana kes ini.
Manakala Ezuan Hafsham masih belajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.
Hakim Mohd Sabri Ismail kemudian menetapkan jaminan RM15,000 ke atas Mariyah manakala RM10,000 ke atas Ezuan Hafsham selain syarat tambahan seperti dicadangkan oleh pendakwa raya iaitu pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan tidak boleh memberi apa-apa kenyataan kepada mana-mana pihak kerana dikhuatiri menganggu perjalanan kes.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Januari depan bagi serahan dokumen dan sebut semula kes.