Hidap Kanser Paru-Paru, Pelakon Kamal Bakar Masih Ditidurkan Di ICU

0
52
Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Sejak beberapa hari lalu, tular melalui platform TikTok, kisah pelakon ‘senior’, Kamal Bakar, 62, yang didakwa ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka, akibat penyakit kanser.

Mendapatkan kepastian, BH Online menghubungi isteri Kamal, iaitu Sarina Shariff, 56, yang mengesahkan Kamal masih ditidurkan dan doktor belum dapat mengesan jenis kanser dihidapi suaminya itu.

“Semalam (kelmarin) ada nampak tanda-tanda macam suami sudah hendak sedar. Tetapi doktor terpaksa tidurkan semula kerana tidak mahu suami berlawan dengan ubat.

“Paru-paru suami sudah rosak dan alami radang serta jangkitan kuman. Jadi, doktor terpaksa beri antibiotik paling kuat untuk merawat kuman.

“Doktor beritahu, andai kerosakan paru-paru berpunca daripada kuman, Insya-Allah antibiotik boleh sembuh. Tetapi, jika berpunca daripada kanser, kami kena reda,” katanya.

Kesihatan Kamal mula merosot sejak Aidilfitri lalu apabila beliau mengalami masalah kesukaran berjalan dan batuk berpanjangan.

Bimbang dengan keadaan suaminya, Sarina membawa Kamal menjalani pemeriksaan di hospital pada hari raya kelima.

“Pada mulanya, saya bawa suami ke Hospital Melaka. Doktor masukkan kamera dari hidung, tetapi mereka tidak kesan apa-apa.

“Disebabkan tidak puas hati lihat keadaan suami yang masih tidak baik, saya bawa dia ke Hospital Putra.

“Hasil ujian CT Scan didapati ada tujuh biji tumor pada usus dan satu biji lagi pada dada. Mereka terus hantar suami ke Hospital Selayang untuk jalani ujian lebih terperinci.

“Selepas keputusan ujian diterima, doktor telefon dan maklumkan suami menghidap kanser. Tetapi doktor tidak jenis dan datang dari mana,” katanya.

Sarina berkata, keadaan suami bertambah buruk, Isnin lalu, apabila dia mengalami kesukaran bernafas. Namun, Kamal ketika itu, enggan dihantar ke hospital.

“Suami takut pergi hospital sebab bimbang ditidurkan. Suami tidak mahu jenazah akhirnya disambut kami. Tetapi, saya pujuk perlahan-lahan. Saya beritahu pergi ke hospital untuk ambil oksigen dan akhirnya dia setuju.

“Apabila tiba di hospital, suami diletakkan di zon merah kerana kadar oksigen kurang baik. Disebabkan oksigen diberi membuatkan dia lemas, doktor terpaksa tidurkan kerana tidak mahu sakitkan dia,” katanya.

Kamal yang memulakan kerjaya lakonan sejak era 1970-an membintangi banyak drama dan filem seperti Andai Itu Takdirnya, Orang Minyak, Suami Aku Ustaz, Pendekar dan Ratu Ten Pin.

Kamal mendirikan rumah tangga dengan Sarina pada 1988 dan dikurniakan lima cahaya, termasuk pelakon Hanis Kamal.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here