GOMBAK: Pempengaruh dan isteri kepada pelawak, Shuib, 41, Watie Hanifiah, 36, akhirnya mengesahkan dirinya kini hamil lima bulan.
Ia sekali gus menamatkan spekulasi yang berlegar sejak beberapa minggu lalu.
Berkongsi mengenai berita gembira itu, Shuib berkata, mereka mengetahui tentang kehamilan itu sejak awal namun memilih untuk merahsiakannya terlebih dahulu.
“Alhamdulillah, seperti yang orang nampak dan ramai berteka-teki, isteri saya memang sudah hamil lima bulan.
“Masa mula-mula dia hamil anak pertama (yang kemudian keguguran), kami dapat tahu ketika berada di Madinah. Ketika itu saya rasa sangat sayu kerana teringat arwah Sarah yang kali terakhir hamil anak bongsu kami.
“Jadi apabila Watie hamil kali ini, perasaan itu datang semula, macam dejavu. Sayu dan takut sedikit. Namun kehamilan pertama itu bukan rezeki kami,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Single sulung Amad Dayyan di sini, semalam.
Menurut Shuib, dia dan Watie bersyukur apabila usaha mendapatkan cahaya mata itu akhirnya dimakbulkan.
“Untuk yang kedua ini memang kami rancang. Alhamdulillah, lekat. Watie pun sangat teruja dan berjanji akan menjaga kandungan betul-betul kerana sebelum ini dia kuat bekerja,” ujarnya.
Tambahnya, tidak ramai yang mengetahui mengenai kehamilan tersebut pada peringkat awal, termasuk anak-anak dan ahli keluarga.
Selain itu, Shuib turut berkongsi detik manis apabila memilih malam final program Talk To My Manager (TTMM) untuk memaklumkan berita tersebut kepada anak perempuannya, Talitha.
“Saya beritahu Talitha dalam bilik persalinan sebelum dia membuat persembahan. Sebab itu dia kelihatan sangat berseri di atas pentas, sebab dia tahu mummy dia hamil,” katanya.
Selepas persembahan berakhir, katanya, dia dan Watie membuat rakaman video khas bagi mengumumkan kehamilan tersebut kepada anak-anak mereka yang lain.
Bagaimanapun, Shuib dan Watie masih belum bersedia untuk mendedahkan jantina bayi dalam kandungan.
Dalam pada itu, ditanya mengenai pilihan jantina, Shuib mengakui pada awalnya dia berharap mendapat anak lelaki agar Talitha kekal menjadi satu-satunya anak perempuan.
Bagaimanapun, dia mengakui kini reda dan terbuka menerima apa sahaja rezeki.
“Sekarang saya tak kisah, janji bayi sihat, itu sudah memadai,” katanya.
Sebelum ini, Watie berkongsi berita duka apabila dia mengalamai keguguran ketika hamil anak pertamanya.
Sekadar rekod, pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023.
Shuib memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.
Sumber – Utusan





