PETALING JAYA – Seperti sedang dibebani sesuatu, pelakon Aaron Aziz meluahkan keperitan hidup yang ditanggungnya sepanjang tahun ini sehingga terpaksa memaksa diri untuk tersenyum di hadapan khalayak.
Ujar Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 49, emosinya cukup terganggu dengan dugaan bertali arus yang menimpa hidupnya.
“Tahun ini penuh dugaan dan kekecewaan. Saya penat sangat. Nak senyum pun kena paksa,” tulisnya dalam Instagram.
Mahukan ruang, pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu menegaskan dirinya enggan melayan pertanyaan berhubung luahan itu namun berdoa kepada Tuhan agar orang yang menganiayanya mendapat balasan setimpal.
“Jangan tanya dalam ruangan komen, saya takkan jawab.
“Saya hanya berdoa semoga Allah menarik segala harta orang yang pernah menganiaya saya,” tegasnya.
Meskipun tidak mendedahkan punca sebenar, luahan tersebut pantas mencuri perhatian peminat yang meluahkan rasa simpati dan menitip doa agar bapa tiga anak itu terus kuat berdepan ujian.
“Walaupun taktahu apa yang berlaku, semoga abang Aaron terus tabah. Allah bersama orang sabar,” tulis seorang peminat.
“Bertabahlah abang, hidup ini sebagai manusia memang akan sentiasa diuji. Semoga segala urusan dipermudahkan,” komen netizen lain.
“Awak inspirasi ramai, jangan biarkan mereka jatuhkan semangat awak. Ramai sayang awak,” ujar seorang pengikut.
Terdahulu, Aaron pernah naik angin selepas berdepan kerugian hampir RM90,000 akibat ditipu sebuah agensi pengurusan umrah.
Lebih menyakitkan, aktor itu mendakwa tidak menerima sebarang bayaran gaji hasil kerjasama bersama pihak terbabit.
Sumber – KOSMO! ONLINE.