Tuesday, November 18, 2025
HomeHIBURAN‘Kalau Jadi Duet Dengan Siti, Tidak Boleh Asal Sambar’ - Afgan

‘Kalau Jadi Duet Dengan Siti, Tidak Boleh Asal Sambar’ – Afgan

MENJADIKAN Biduanita Negara sebagai idola, penyanyi Indonesia, Afgan sedia berkolaborasi dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza selepas duet spontan mereka semasa Festival Muzik Pestapora 2025 di Jakarta, Indonesia pada September lalu tular dalam media sosial.

Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 36, berkata, andai kerjasama tersebut menjadi kenyataan, pemilihan lagu perlu dibuat dengan teliti agar sesuai dengan skala vokal dan citra muzik masing-masing.

Duet spontan

“Sejujurnya belum ada sebarang perancangan tetapi bagi saya jika kolaborasi direalisasikan tentu sahaja lagu pilihan nanti harus betul-betul punya makna dan ‘nyawa’.

“Tidak boleh asal sambar sahaja apa-apa lagu. Kalau suatu hari nanti berpeluang bikin kerjasama bersama Kak Siti, saya ingin lagunya benar-benar tepat,” katanya pada sidang media Afgan Retrospektif Showcase, baru-baru ini.

Mengakui peminat Siti Nurhaliza, pelantun lagu Jodoh Pasti Bertemu itu berkata, persembahan pada festival berkenaan sebenarnya tidak dirancang, sebaliknya berlaku secara spontan ketika menyaksikan kemunculan penyanyi nombor satu Malaysia.

“Waktu itu saya baru selesai membuat persembahan dengan Raisa. Saya nampak dalam jadual ada Kak Siti (Siti Nurhaliza), jadi saya bilang, ‘wah, saya mau nonton’.

“Sebelum ke hadapan pentas, saya sempat ke belakang bersalaman dan ucap good luck kepada Kak Siti. Ketika saya di depan pentas, tiba-tiba beliau yang menyanyikan Bukan Cinta Biasa datang ke arah saya dan berkata, ‘Afgan, lagu kita sama judulnya. You wanna sing?’

“Saya terkejut tapi naik juga dan nyanyi sedikit. Untungnya saya pernah bawakan lagu itu di Pulau Pinang tempoh hari, jadi masih ingat lagi lirik,” ujarnya.

Menerusi penampilan di fiesta muzik popular di Indonesia tersebut, Siti Nurhaliza mendendangkan lebih 10 untaian lagu termasuk Betapa Aku Cinta Padamu, Cindai, Purnama Merindu serta Wajah Kekasih.

Dekati khalayak

Sementara itu, mengenai penganjuran Afgan Retrospektif Showcase di Zepp Kuala Lumpur pada 5 Disember nanti, katanya sebanyak 25 lagu bakal diperdengarkan termasuk 10 lagu daripada album terbaharunya, Retrospektif.

Menurutnya juga, tiada penyanyi jemputan untuk konsert kali ini memandangkan beliau ingin lebih intimasi dengan khalayak.

“Showcase ini sangat istimewa apabila pertama kali saya akan mempersembahkan seleksi daripada album Retrospektif, bahkan di Indonesia sendiri pun belum lagi.

“Saya juga inginkan suasana santai, dapat berinteraksi dengan penonton selain berkongsi kisah di sebalik setiap lagu dalam suasana tenang.

“Pentas pun nanti akan berkonsep seperti saya sedang jamming dengan teman-teman di ruang tamu. Saya mahu terasa seperti di rumah,” ungkapnya.

Tiket Afgan Retrospektif Showcase yang berharga antara RM358 (berdiri) sehingga RM1,398 (VIP Box) boleh ditempah di https://www.golive-asia.com.

Sumber – Kosmo! Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Saya Hilang Pertimbangan, Lakukan Hal Bukan-Bukan’ – Aliff Aziz

0
NAMA terpalit kontroversi panas sehingga menjadi cemuhan umum, pelakon juga penyanyi Aliff Aziz tetap bersyukur mendepani gelapnya sejuring terowong hayat yang harus dijalani. Hampir terduduk...

CATEGORIES