PELAKON Amerul Affendi mengakui terpaksa menahan malu setiap kali bertemu dengan peminat yang memanggil nama wataknya dalam filem Polis Evo iaitu Mat Yam di hadapan anak-anaknya.
Menurut Amerul atau Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 38, bagi mengelakkan salah faham tercetus, dia menjelaskan perkara tersebut kepada anak-anaknya mengenai filem tersebut yang ditayangkan sekitar 2015 iaitu sebelum mereka lahir.
“Momen memalukan bila keluar dengan anak tiba-tiba ada orang panggil saya Mat Yam kemudian mereka akan toleh dan tanya saya ‘siapa Mat Yam?’ sebab tak tahu watak itu. Filem itu pun tayang sebelum mereka lahir.
“Saya jelaskan kepada mereka tentang watak berkenaan. Sehingga ke hari ini pun mereka belum tengok,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di Polis Evo Wonda-Ful 10 Years, baru-baru ini.
Amerul berkata, dia tidak menolak bahawa watak berkenaan mempunyai kelompok peminat tersendiri dan dan kekal dalam ingatan penonton filem tersebut sehingga ke hari ini.
“Selalunya watak sebegini orang akan benci tapi saya pun tak tahu macam mana karakter ini orang sayang pula, tertanya-tanya juga.
“Dalam cerita Polis Evo, semua karakter ganas, garang tetapi tiba-tiba ada satu bunga yang tak berapa menjadi ada di situ,” selorohnya.
Dalam pada itu, dia menyambut baik pengumuman Astro Shaw yang bakal menerbitkan drama bersiri ‘spin-off’ Polis Evo mengetengahkan watak Mat Yam tidak lama lagi.
Katanya, ini merupakan kali terakhir dia akan menjayakan karakter lelaki lembut dalam francais Polis Evo.
“Saya baru tahu watak Mat Yam jadi watak utama dalam drama. Ini ibarat hadiah untuk peminat filem Polis Evo selepas 10 tahun.
“Ini akan jadi satu-satunya watak yang tidak akan saya buat di tempat lain.
“Sebenarnya saya dapat watak ini pun sebab kena ‘scam’ dengan pengarah tetapi kini terpaksa teruskan atas pemintaan ramai, layan sahajalah,” tuturnya.
Amerul bagaimanapun berharap watak tersebut mampu memberikan pengajaran kepada penonton.
“Harap karakter ini akan beri pengajaran yang bagus kepada anak saya dan juga orang lain. Jangan pandang negatif sahaja.
“Mat Yam mengingatkan penonton bahawa jika ada orang anggap kita lemah, kita tetap berguna kepada masyarakat,” katanya lagi.
Terdahulu, sempena sambutan 10 tahun penerbitan filem Polis Evo, Astro Shaw mengumumkan akan muncul dengan sebuah drama siri terbaharu, Mat Yam yang bakal dibintangi Amerul.
Sumber – Kosmo! Online