Tuesday, October 28, 2025
HomeHIBURAN'Filem Saya Mesti Ada Orang Malaysia' – Baim Wong Pilih Anna Jobling...

‘Filem Saya Mesti Ada Orang Malaysia’ – Baim Wong Pilih Anna Jobling Sekali Lagi

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit terkenal Indonesia, Baim Wong, mendedahkan keputusannya menampilkan pelakon popular Malaysia, Anna Jobling, sekali lagi dalam filem terbaharunya, Sukma, adalah disebabkan keserasian dan mutu lakonan tinggi yang ditunjukkan aktres itu dalam projek terdahulu, Lembayung.

Menurut Baim atau Muhammad Ibrahim, 44, sejak menghasilkan filem pertamanya Lembayung pada tahun 2024, beliau bertekad untuk memastikan setiap karya terbitannya turut menampilkan pelakon dari Malaysia.

“Kalau boleh, setiap filem saya mesti ada orang Malaysia. Memang itu pilihan saya.

“Anna telah menunjukkan kerjasama dan prestasi yang sangat baik ketika membintangi Lembayung, jadi kami teruskan lagi dalam Sukma,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem tersebut di ibu negara, baru-baru ini.

Mengimbau detik awal pertemuan mereka, Baim berkata, pada ketika itu beliau sedang mencari pelakon wanita yang memiliki senyuman ‘menyeramkan’ tetapi tetap kelihatan manis dan tidak terlalu kerap muncul di layar perak bagi menampilkan wajah baharu dalam industri perfileman Indonesia.

“Saya sebenarnya mahukan pelakon lain, tetapi dia tidak dapat menyertai projek ini.

“Kemudian dia mencadangkan seorang pelakon dari Malaysia dan itulah Anna. Saya terus terbang ke Malaysia untuk sehari bagi sesi uji bakat. Tidak mudah sebenarnya, saya sempat beri ‘hint’ supaya Anna berikan senyuman seolah-olah mahu membunuh saya,” katanya sambil tertawa.

Anna Jobling yang mula mencuri perhatian menerusi drama popular Melur Untuk Firdaus, berjaya menembusi pasaran Indonesia melalui Lembayung pada 2024 dan kini kembali dengan watak Sari dalam Sukma.

Filem Sukma mengisahkan penemuan sebuah cermin kuno di rumah keluarga Ariani (lakonan Luna Maya) yang mula diganggu entiti misteri hanya dapat dirasai melalui suara dan penampakan yang tidak kelihatan pada mata kasar.

Selain Anna, filem ini turut dibintangi pelakon hebat seperti Christine Hakim, Fedi Nuril, Luna Maya dan Oka Antara. Sukma bakal mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 11 September 2025.

Sumber – UTUSAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Tun Md Raus Ketuai Jawatankuasa Bebas Siasat Isu Dokumentasi Tujuh Pemain...

0
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai pengerusi jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi...

CATEGORIES