SHAH ALAM – Bekas suami penerbit drama, Datuk A. Aida iaitu penyanyi, Ameng Spring berkongsi detik cemas apabila ibu kepada anak-anaknya itu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di ibu negara baru-baru ini.
Menurut Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 57, dia menerima panggilan daripada anak sulungnya, Wan Az Aleesa yang cemas dengan kejadian menimpa ibunya.
“Anak saya telefon sambil menangis teresak-esak. Saya ingatkan kucing dia mati sebab dia ada kongsi dalam sosial media tentang kucingnya yang sakit. Rupanya mama dia yang sakit.
“Lepas dapat panggilan, saya terus ke hospital bertemu anak saya. Dia beritahu tahu saya doktor suruh baca Yassin. Jantung ibunya sudah berhenti sebanyak lapan kali.
“Saya sempat melawat A.Aida. Saya lihat wayar sudah berselirat di badannya ketika tu. Waktu itu saya sedar ini bukan sakit biasa-biasa. Tetapi sakit kronik. Pada mulanya saya syak dia kena serangan jantung disebabkan faktor umur. Tetapi rupanya dia mengalami komplikasi,” katanya ketika ditemui di Konsert Talk To My Manager, di sini, semalam.
Tambah pelantun lagu Sampai Hati itu lagi, bila melihat keadaan bekas isterinya yang terlantar ketika itu dia berasakan seolah-olah sudah tiada harapan kerana koma selama empat hari.
“Saya tengok seolah-olah dia sudah tiada harapan. Jadi kami telah lakukan bacaan Yassin dan solat hajat. Alhamdulillah pagi tadi (semalam) saya dapat panggilan daripada anak saya memaklumkan ibunya sudah sedar.
“Yang paling penting bila dia sedar, dia kenal anak dia. Maknanya otak dia masih berfungsi. Selalunya kalau orang sedar daripada koma mereka susah untuk ingat.
“Tetapi dia masih belum boleh bercakap kerana ada tiup di dalam mulut. Cuma bila anak saya tanya kenal tak dia, dia angguk. Insya-Allah dalam masa terdekat dia mungkin akan dipindahkan ke wad biasa,” kongsinya.
Terdahulu, A.Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 55, dilaporkan rebah selepas melakukan rawatan fisioterapi. Difahamkan dia baru dua hari menjalani pembedahan di kedua-dua lututnya sebelum kejadian.
Sumber – KOSMO! ONLINE