KUALA LUMPUR: Pelakon, Datin Elvina Mohamad, meluahkan rasa kesal apabila berhadapan dengan budaya ‘cancel’ selepas sedutan babak panas dalam drama terbaharunya, Safira, tular di media sosial baru-baru ini.
Elvina atau nama sebenarnya Norzalina Mohamad, 30, menegaskan dia tidak melakonkan adegan ranjang seperti yang didakwa, sebaliknya menggunakan khidmat ‘stunt double’ bagi menggantikan dirinya untuk babak berkenaan.
“Tak tahu mengapa budaya ‘cancel’ sekarang menular dalam kalangan kita. Saya rasa netizen mahu kita ikut kata mereka. Silap sikit saja, terus nak ‘cancel’.
“Kita pun manusia, kita buat salah juga. Kalau hidup untuk puaskan orang, memang takkan boleh,” katanya pada sidang media drama Safira di Pavilion Damansara Heights, semalam.
Pelakon itu berpendapat, budaya ‘cancel’ yang mula tercetus di Hollywood tidak wajar diikuti kerana boleh merosakkan moral masyarakat.
“Di luar negara, kalau seseorang buat silap, terus ‘cancel’. Sekarang budaya itu dibawa ke sini pula.
“Isu Palestin pun sama. Ramai artis sudah buat hantaran menyokong tapi sebab netizen tak nampak, terus kena ‘cancel’. Padahal mereka banyak membantu secara senyap,” katanya.
Elvina turut mengakui dia dimasukkan dalam senarai ‘blacklist’ oleh segelintir netizen, namun memilih untuk tidak melayan.
“Kalau kita jawab, akan ada salah juga. Jadi lebih baik diam.
“Bagi saya, ‘cancel’ atau tidak, jumlah pengikut sama saja. Di luar pun orang layan baik. Netizen komen cuma nak melaga-lagakan,” katanya.
Menjelaskan isu utama yang menimbulkan kontroversi, Elvina menjelaskan babak panas yang tular bukan dilakonkan olehnya, sebaliknya pelakon lain digunakan sebagai pengganti.
“Ketika penggambaran, kami guna ‘camera trick’. Saya pun tak bersetuju nak buat babak panas. Itu sebab guna ‘double body’.
“Tapi siapa kita nak tolak, sebab dah tandatangan kontrak. Ia atas permintaan pengarah dan produksi. Kita hormat keputusan itu,” katanya.
Walaupun dikecam hebat, Elvina tetap tenang dan profesional. Katanya, sebagai pelakon, dia hanya menjalankan tanggungjawab mengikut skrip dan batas yang sudah ditetapkan oleh produksi.
“Dalam dunia lakonan, bukan semua babak dibuat betul-betul. Kadang hanya helah kamera. Saya harap orang luar tak mudah menilai tanpa tahu cerita sebenar,” ujarnya.
Sumber – Berita Harian





